Badan kehakiman minta KPN nyata status siasatan salah laku kehakiman

Tengku Maimun Tuan Mat -Foto Bernama
Tengku Maimun Tuan Mat -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Badan kehakiman akan meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan status siasatan polis berkaitan dakwaan salah laku kehakiman dalam afidavit yang dibuat Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Ketua Pendaftar akan menulis kepada Abdul Hamid berkenaan perkara itu tidak lama lagi.

Beliau berkata, badan kehakiman tidak bertanyakan polis mengenai perkara itu atau melaksanakan siasatan dalaman kerana masih ada kes yang belum selesai di Mahkamah Tinggi mengenai isu yang sama.

“Kami gantung siasatan kerana terdapat kes yang masih belum selesai di Mahkamah Tinggi dan baru-baru ini kes itu dilupuskan oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tahun Undang-Undang 2020.

Tengku Maimun berkata, badan kehakiman tidak melihat ia sesuai untuk meneruskan siasatan berhubung perkara itu apabila kes berkenaan ditangguh di Mahkamah Tinggi.

“Kini, kes itu dilupuskan di Mahkamah Tinggi, kami fikir ia adalah masa sesuai untuk memeriksa dengan polis status siasatan mereka supaya kami dapat mengendalikan dengan apa sahaja yang perlu dilakukan bagi pihak kehakiman,” katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menunggu lebih lama memandangkan litigan, peguam Sangeet Kaur Deo telah memfailkan rayuan, Tengku Maimun berkata: “Sekiranya kami menunggu rayuan, ia akan mengambil masa lebih lama”.

Tahun lepas, badan kehakiman membuat laporan polis berhubung dakwaan dibuat terhadap hakim yang tidak disebut namanya dan institusi itu dalam afidavit yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Artikel Berkaitan:

Peguam Sangeet Kaur Deo juga memfailkan saman pemula berkaitan dengan dakwaan campur tangan oleh badan kehakiman terhadap keputusan kes hasutan mendiang bapanya Karpal Singh.

Saman itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Maimun mengulas ucapan yang disampaikan oleh Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor yang mengulangi desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan salah laku badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara itu berkata, dakwaan yang dibuat sedang disiasat dan sehingga pihak berkuasa memutuskan sama ada dakwaan itu memerlukan tindakan lanjut atau tidak, ia kekal tuduhan tidak terbukti.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Fareed itu mewujudkan persepsi bahawa apabila dakwaan itu dibuat, ia menunjukkan bahawa badan kehakiman tidak mempunyai kebebasan.

Tengku Maimun menambah kenyataan itu menggambarkan bahawa tanpa RCI, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman telah terhakis.

Beliau berkata, adalah penting bagi Majlis Peguam yang memainkan peranan penting dalam menegakkan kebebasan badan kehakiman, tidak dengan sengaja menghakis kepercayaan orang ramai dengan menganggap seluruh badan kehakiman tercalar sehingga RCI ditubuhkan.

“Bagaimana badan kehakiman dapat berfungsi sekiranya seluruh institusi terus dibicarakan untuk dakwaan yang masih dalam siasatan?” katanya. - Bernama