Aset ganti helikopter Nuri sedang dibincangkan

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu -Foto Bernama
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan sedang dalam proses perbincangan untuk mengenal pasti aset baharu yang akan menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditamatkan operasi.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, perbincangan itu masih di peringkat kementerian dan apabila selesai, cadangan aset baharu itu akan dibentang kepada Kabinet.

"Peruntukan kami (Kementerian Pertahanan) ada dan untuk peringkat awal, mungkin (operasi libatkan helikopter) akan dibuat dalam bentuk sewaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kerjasama Jualan Amal Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Chatime bersempena Kempen Tabung Pahlawan 2019 di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata, operasi 12 helikopter Nuri milik TUDM ditamatkan memandangkan kos penyelenggaraannya terlalu mahal.

Menurut Ackbal, setakat ini beberapa jenis helikopter telah dikenal pasti untuk menggantikan Nuri sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Dalam pada itu Mohamad berkata, pembekal makanan dan minuman Chatime bersedia memberi peluang kepada veteran ATM membuka outlet di seluruh negara.

"Ini merupakan satu peluang terbaik kepada veteran dalam meneruskan kerjaya kedua selepas bersara daripada perkhidmatan ATM.

"Dana sebanyak RM20,000 juga akan disalurkan ke Tabung Pahlawan bagi setiap outlet baharu yang dibuka oleh veteran ATM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau berkata, pihak Chatime turut bersetuju menyumbang sebanyak 30 sen ke dalam Tabung Pahlawan bagi setiap cawan Chatime yang dijual di 39 outlet di seluruh negara bermula hari ini sehingga 29 Februari ini. - Bernama