Cukup-cukuplah putar belit berita, Najib dah kalah

Perkongsian Ab Jalil di Facebooknya.
Perkongsian Ab Jalil di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah portal berita memuat naik berita yang didakwa telah memutarbelitkan wawancara secara live Sinar Harian bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar), Ab Jalil Backer berkata, portal berkenaan pada jam 1.31 petang telah memuat naik berita bertajuk ‘Memang kita sudah ditipu oleh Jho Low, kata Najib’ namun sekitar jam 3.04 petang portal berita itu dilihat telah menyunting tajuk kepada ‘Mungkin kita sudah ditipu oleh Jho Low, kata Najib’.

“Cukup-cukuplah putar belit berita. Najib sudah dikalahkan dan berhadapan 45 pertuduhan.

“Apakah setelah pelbagai tekanan dan penghinaan dibuat ke atasnya anda masih tidak boleh berlaku adil kepada beliau dalam melaporkan berita?,” katanya melalui perkongsian di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Ab Jalil berkata, perkataan “Memang” pada tajuk berita yang digunakan oleh portal berkenaan pada jam 1.31 petang adalah bertujuan memberi gambaran Najib mengesahkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditipu oleh ahli perniagaan kontroversi, Jho Taek Low.

“Sedangkan apa yang berlaku Najib memberi gambaran jika benar semua dakwaan ke atas Jho Low tersebut maka betullah kita ditipu.

“Ia sebenarnya bermula apabila Najib menjawab lanjutan soalan moderator mengenai isu 1MDB, "Adakah dengan ini kita mengakui kita telah ditipu oleh jutawan Jho Low ini?

“Najib berkata, “Ya, kalau begitu, memang kita (sudah ditipu), itulah kesimpulan kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini, itu sebenarnya.”

Artikel Berkaitan:

“Apakah makna kenyataan ini? Maksud Najib Razak jika apa yang dinyatakan hari ini adalah satu kebenaran maka jelas Jho Low telah menipu kita,” katanya.

Ab Jalil berkata, namun tajuk awal portal itu memberi gambaran seolah-olah Najib mengakui Jho Low telah menipu.

“Sebab itu jawapan beliau sebelumnya ialah, “Itu saya kata tindakan perlu diambil, kalau jelas dia (Jho Low) lakukan kesalahan. Masa itu kita telah lantik peguam, audit, dan Golman Sachs, sebuah investment bank (bank pelaburan) yang begitu tersohor peringkat global.

“Tanggung jawab bank (itu) ialah menjaga kepentingan Malaysia, jadi kalau dia gagal menjaga kepentingan Malaysia, macam mana saya nak tahu, patut dia beritau ada sesuatu yang tidak betul,” katanya.

Ab Jalil menambah, satu lagi kesalahan portal berkenaan ialah dalam para terakhir apabila menulis:

“Dia (Jho Low) jelas telah gagal (dalam) tanggungjawabnya, Misalnya Goldman Sachs, maknanya sistem yang kita wujudkan nak jaga kepentingan investment bank, peguam, juru audit semua, mereka telah tidak memainkan peranan yang sebenarnya.”

“Nama Jho Low dalam kurungan diletak oleh portal berita itu. Najib hanya menggunakan "Dia". Jika dilihat urutan penjelasan dalam wawancara tersebut 'dia' itu merujuk kepada Goldman Sachs, Auditor dan peguam yang dilantik oleh 1MDB, bukannya Jho Low,” katanya.

Wawancara bersama Najib dikendalikan oleh Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pagi tadi.

Sinar Harian menjadi media tempatan pertama mengendalikan wawancara eksklusif bersama Najib selepas beliau yang menerajui BN tewas dalam PRU14.