Rasuah: Ahli perniagaan, sarjan polis mengaku tidak salah

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM25,000 daripada seorang lelaki warga Bangladesh berhubung kesalahan Imigresen dua tahun lepas.

Mohamad Tahir Fazal Mohd, 57, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta RM20,000 dan menerima RM5,000 daripada Monomiah sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada pihak Imigresen atas kesalahan yang dilakukan oleh syarikat milik Monomiah, Dyna Maintainance Services Sdn Bhd yang membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk bekerja sebagai buruh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran berasingan di Bukit Bintang dan Pandan Jaya pada 12 dan 19 September 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kerana dia kini tidak bekerja dan mempunyai tanggungan keluarga.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan dan menetapkan 11 Februari untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen lain, anggota polis Sarjan Norul Ezwan Nasir, 34, mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama melibatkan wang RM100 daripada seorang lelaki berhubung sport rim motosikal pada tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa meminta dan menerima wang RM100 daripada Ahmad Syafiq Ahmad Sahrul sebagai dorongan untuk menyerahkan semula sport rim yang telah dirampas kerana disyaki barang curi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 6, Bahagian Siasatan Jenayah, Balai Polis Travers di sini pada 5 Oktober tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Norul Ezwan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Februari untuk sebutan semula kes.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 24(1) (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - Bernama