Equanimity: Harga penuh pembelian dibayar dalam tempoh ditetapkan

Kapal layar mewah Equanimity - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
Kapal layar mewah Equanimity - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Genting Malaysia Bhd menjadi pemilik baharu kapal layar mewah Equanimity selepas keuntungan jualan lebih RM0.5 bilion telah dikreditkan ke dalam akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dibuka khas untuk tujuan itu, kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, harga penuh bagi pembelian itu telah dibayar dalam tempoh ditetapkan.

"Seluruh episod daripada waktu kapal mewah itu belayar masuk ke perairan Malaysia pada Ogos 2018 dan ditahan susulan perintah dikeluarkan Mahkamah Admiralti sehingga penjualannya menerusi perjanjian persendirian dilaksanakan mengikut standard tertinggi undang-undang maritim setara dengan setiap sistem undang-undang berwibawa," katanya semasa berucap merasmikan Tahun Undang-Undang 2020 di sini hari ini.

Tommy berkata, semuanya dilakukan secara terbuka, telus dan berakauntabiliti.

"Setiap orang yang terlibat dalam pentadbiran keadilan patut berbangga dengan pelaksanaan undang-undang dalam memperoleh aset negara itu untuk manfaat awam," katanya.

Kapal layar itu dipercayai dibeli oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low pada harga AS$250 juta yang didakwa menggunakan wang dikaitkan dengan 1MDB.

Pada April 2019, dilaporkan Genting Malaysia Bhd atau syarikat tujuan khasnya (SPV) membeli Equanimity pada harga AS$126 juta.

Tommy berkata, kelulusan Sheriff bagi penjualan menerusi perjanjian persendirian bagi Equanimity pada harga lebih RM6.4 juta itu telah dibayar pada Disember 2019 merupakan satu rekod dalam sejarah perundangan Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: