Jangan jadikan rakyat sebagai hakim, kata Abdul Hadi

No Image Caption
A
A
A

MARANG - Pas mengingatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tidak menjadikan rakyat sebagai hakim susulan pendedahan rakaman perbualan telefon bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan bahawa audio berkenaan tidak boleh menjadi saksi sebaliknya ia adalah satu keterangan yang perlu diserahkan kepada pihak berkenaan untuk disiasat.

Menurutnya, audio itu sepatutnya diserahkan kepada polis, Jabatan Peguam Negara dan pihak kehakiman untuk menilai dan bukannya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

"Kita ada mahkamah dan institusi yang menguatkuasakan undang-undang. Jangan pula kita jadikan rakyat ini sebagai hakim. Rakyat jadi hakim semasa pilihan raya sahaja.

"Kes yang berkait individu tidak boleh diserahkan kepada rakyat untuk menilai, itu zaman bintang tiga dahulu, zaman komunis. Bila Jepun kalah dulu, panggil orang ramai buat pungutan suara bunuh atau tidak bunuh orang. Ini tidak boleh," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan rakaman audio itu pada sidang media khas di Putrajaya oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, yang dikatakan membabitkan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Antaranya, rakaman percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mendedahkan maklumat siasatan mengenai skandal dana 1MDB kepada Najib pada 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] SPRM bongkar audio konspirasi jenayah libatkan Najib, Rosmah

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya adakah pendedahan itu akan menjejaskan pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, beliau bagaimanapun yakin isu berkenaan tidak akan menjejaskan kerana rakyat semakin bijak menilai.

"Saya yakin pengundi Sabah khususnya di Kimanis bijak membuat penilaian.

"Keputusan PRK Kimanis bergantung kepada kempen dan kempen pula lebih kepada isu tempatan," katanya.