Kaut RM6 juta sebulan

Anggota polis ketika membuat pemeriksaan dalam serbuan terbabit.
Anggota polis ketika membuat pemeriksaan dalam serbuan terbabit.
A
A
A

KLUANG - Seramai 17 warga China dan seorang lelaki tempatan disyaki sindiket pengendali kegiatan judi dalam talian ditahan dalam serbuan di dua rumah di Jalan Delima 7, Taman Delima di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 7.30 malam itu turut membabitkan kerjasama daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Polis Iskandar Puteri dan Polis Johor Bahru Utara.

“Hasil maklumat dan risikan, kita telah berjaya melakukan serbuan di dua unit rumah yang mana dipercayai dijadikan markas operasi bagi kegiatan judi dalam talian.

“Operasi turut membawa kepada penahanan seramai 17 warga China terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita selain seorang lelaki tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Abduh berkata, sindiket itu juga dipercayai mempunyai jaringan pengaruh luas dengan menyasarkan mangsa perjudian dari negara China untuk membuat sebarang taruhan.

Katanya, kegiatan haram sindiket itu juga didapati menghasilkan transaksi urus niaga sehingga menjangkau kira-kira RM200,000 sehari dan RM6 juta sebulan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui ada atau tidak penglibatan pihak lain serta berapa lama sindiket ini telah beroperasi.

“Kita juga dapati tiga warga China yang ditangkap menggunakan pas lawatan sosial manakala selebihnya tidak memiliki pasport,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua warga asing berkenaan akan direman di bawah Akta Imigresen manakala suspek lelaki tempatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.