JCorp lantik Syed Mohamed sebagai presiden, ketua eksekutif baharu

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor Corporation (JCorp) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim sebagai presiden dan ketua eksekutif baharunya.

Dalam kenyataan kepada Bernama di sini, JCorp berkata, pelantikan berkuat kuasa semalam itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan susulan persaraan Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim pada 31 Disember 2019.

Syed Mohamed memiliki pengalaman dan kepakaran luas selama 34 tahun dalam bidang perbankan, korporat, pembangunan hartanah, teknologi dan strategi perniagaan.

Beliau merupakan lulusan Universiti Malaya di dalam bidang Ekonomi (Ekonomi Analisa).

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi JCorp berkata, lembaga pengarah dan warga kerja Jcorp mengalu-alukan pelantikan Syed Mohamed.

Mereka yakin beliau akan terus memastikan kerelevanan dan kemampanan JCorp dalam melaksanakan peranannya sebagai agen pembangunan negeri selama lebih lima dekad, dipacu oleh misi Jcorp, Membina dan Membela.

Sebelum pelantikan itu, Syed Mohamed merupakan Pengerusi Perbadanan Pelaburan FELDA; Presiden dan Pengarah Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd; Pengerusi Encorp Bhd; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd; Ketua Pegawai Eksekutif TH Properties Sdn Bhd dan Pengarah Kumpulan DRB-HICOM.

Syed Mohamed memulakan kerjaya beliau di Bank Bumiputera (M) Bhd dan Bank Rakyat sebelum menyertai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (kini JCorp) dari 1989 hingga 1993.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang berusia 62 tahun itu kini turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Prasarana Integrated Development Sdn Bhd serta lembaga pengarah Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor. - Bernama