Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peniaga masih tidak memasuki pasaran kerana mahu menunggu petunjuk baharu memandangkan ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang reda.

Pada jam 9.15 pagi, ringgit berada pada 4.0880/0910 berbanding dolar AS daripada 4.0880/0930 ketika ditutup semalam.

Penganalisis Kanan Pasaran bagi Asia Pasifik, OANDA, Jeffrey Halley berkata, krisis di Timur Tengah yang terbaru dilihat akan berakhir selepas pengumuman Presiden AS Donald Trump bahawa tiada tindakan selanjutnya dari AS memandangkan serangan peluru berpandu Iran tidak menyebabkan kecederaan terhadap tenteranya di Iraq.

“Ini bermakna semua akan kembali seperti biasa iaitu mencapai pemulihan perdagangan pasca perjanjian perdagangan Asia yang berlarutan, pembelian ekuiti di mana-mana sahaja dan secara umumnya berusaha untuk meraih hasil dalam apa jua bentuk.

“Petunjuk awal dari Asia adalah tepat seperti berlaku sekarang dengan pasaran saham Asia sedang mengalami permulaan yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali terhadap yen Jepun.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.7327/7364 daripada 3.7350/7406 ketika ditutup semalam dan susut berbanding euro kepada 4.5401/5439 daripada 4.5369/5440.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0255/0279 daripada 3.0243/0285 semalam serta turun berbanding pound Britain kepada 5.3414/3457 daripada 5.3250/ 3332. - Bernama

Artikel Berkaitan: