X

Kindly register in order to view this article
!

Berwuduk guna kolah ada tahi cicak, sahkah?

JIKA ingin mengambil wuduk atau mandi junub, sebaiknya elakkan diri daripada menggunakan air kolah yang mengandungi tahi cicak.
A
A

SEGELINTIR orang masih lagi suka menggunakan air kolah berbanding air paip.

Barangkali kerana kedinginan air berkenaan yang memberi rasa segar pada tubuh badan.

Dalam perihal mandi wajib dan berwuduk, memang tiada masalah untuk menggunakan air kolah berkenaan asalkan ia air mutlak atau suci.

Namun, apakah hukumnya jika kita mengambil wuduk atau mandi wajib menggunakan air kolah yang di dalamnya terdapat tahi cicak?

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, fahami terlebih dahulu hukum asal mandi junub dan berwuduk.

Pada asalnya, mandi junub atau berwuduk itu mestilah menggunakan air mutlak atau air suci yang terhindar daripada najis yang mengubah bau, rasa dan warna.

Tahi cicak merupakan najis yang kotor.

Para ulama berbeza pandangan dan pendapat dalam masalah berkenaan.

Mazhab Syafie menganggap air yang terkena najis kurang daripada dua kolah walaupun tidak mengubah bau, rasa dan warna, maka hukumnya, najis.

Berdasarkan hadis sahih riwayat al-Tirmizi, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila air itu cukup dua kolah, maka ia tidak menanggung kotoran atau najis."

Secara ringkasnya, dalam kitab-kitab fikah, ukuran dua kolah merujuk lebih kurang 200 liter atau ukuran bekas itu, bukaan dua hasta dalam dan bukaan dua hasta lebar.

Sebahagian ulama seperti Mazhab Maliki dan pegangan Imam al-Ghazali menyatakan, air kurang dua kolah yang terkena najis selagi mana tidak mengubah bau, rasa dan warna tidak dikira najis.

Sememangnya terdapat perbezaan yang ketara antara ulama, bahkan ada sebahagian ulama berpendapat, jatuhnya tahi cicak ke dalam kolah ialah perkara yang dimaafkan dan sukar dielakkan walaupun airnya kurang dari ukuran dua kolah.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!