X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu tangani semua isu sama rata

Rosli Yang Danian
A
A

IPOH - Semua isu berbangkit yang mendapat perhatian rakyat perlu ditangani secara sama rata dan dilihat adil oleh pemimpin kerajaan.

Presiden Pertubuhan Masyarakat Melayu Perak (Harmonis), Datuk Rosli Yang Danian berkata, isu tulisan jawi dan hiasan tanglung tidak akan tercetus jika kerajaan tidak pilih kasih dalam menangani isu berkenaan.

Menurutnya, keadaan tidak harmoni yang berlaku dalam masyarakat ketika ini berpunca kerana pemimpin terutama dalam kalangan Melayu gagal memainkan peranan untuk menurunkan suhu kemarahan rakyat.

"Rakyat khususnya orang Melayu melihat terdapatnya pilih kasih dalam isu-isu membabitkan mereka bermula dengan kes Teo Beng Hock yang dibuka semula selepas 10 tahun tetapi dalam isu anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim seolah-olah cuba ditutup pihak tertentu.

"Ditambah panas dengan isu tulisan jawi yang ditentang habis-habisan oleh Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) seterusnya membawa kepada ketidakpuasan hati terhadap hiasan tanglung di sekolah sehingga tujuh menteri turun memberi sokongan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang mengingatkan kerajaan bahawa jika isu-isu perkauman dan agama tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh menghancurkan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia

Beliau berkata, isu-isu berkenaan boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan semua pihak sepatutnya bertolak ansur dan bukan mengapi-apikan lagi isu.

Menurutnya, dalam isu tulisan jawi sebagai contoh, pemimpin kerajaan seperti Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu duduk semeja dengan Dong Zong memberikan kefahaman kepada mereka tentang isu tersebut supaya boleh diterima untuk diajar di sekolah.

Rosli berkata, begitu juga pemimpin Melayu yang hanya membiarkan isu tulisan jawi hanya dipertahankan oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan tidak mengambil inisiatif mempertahankan tindakan kerajaan itu.

"Apa yang diperkatakan oleh Husammuddin itu perlu diberikan perhatian oleh kerajaan kerana suara kebimbangan itu mewakili seluruh rakyat Malaysia.

"Luahan ikhlas itu menunjukkan betapa gagalnya pemimpin Melayu khususnya di dalam kerajaan untuk menenteramkan rakyat sedangkan peranan itu harus dimainkan oleh mereka," katanya.

Beliau berkata, kegagalan pemimpin dan kerajaan membendung rasa tidak puas hati rakyat dalam menangani isu berkenaan boleh membuka jalan kepada tindakan ekstrim pihak-pihak tertentu.

Katanya, ketika ini sudah ada kumpulan-kumpulan tertentu yang mula menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan membuat perhimpunan dan menyerahkan memorandum mereka sebagai menunjukkan kemarahan.

Jelas Rosli, perkara-perkara seperti ini boleh mencetuskan ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku jika ditangani oleh pemimpin dengan cara yang bijak.

Menurutnya, rakyat tidak harus dibiarkan memberontak kerana pasti menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!