X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Islam terima Anugerah Al Mansor

Mohd Muazzam menerima Anugerah Al Mansor bagi Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam sempena Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 di Kuala Lumpur semalam.
A
A

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), peneraju perbankan Islam di Malaysia, meraikan tahun baru dengan meraih Anugerah Al Mansor bagi Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam sempena Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020.

Anugerah tersebut mengiktiraf sumbangan dan prestasi cemerlang Bank Islam dalam bidang perbankan dan kewangan Islam di Malaysia yang seiring dengan persekitaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, anugerah tersebut menandakan permulaan yang baik untuk Bank Islam bagi tahun 2020 dan ia menjadi pendorong semangat untuk Bank Islam mempertingkatkan usaha demi mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Sejak ditubuhkan pada 1983 dan sebagai institusi perbankan Islam yang pertama di Malaysia, Bank Islam terus berkembang kukuh.

“Mendepani cabaran dan terus meneroka potensi pasaran, kami amat komited untuk berinovasi serta menawarkan produk dan perkhidmatan patuh syariah yang relevan serta terkini dan memenuhi keperluan pelanggan.

“Bagi pihak Bank Islam, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Bank Islam, pemegang taruh dan pelanggan atas komitmen, kepercayaan serta kesetiaan mereka dalam merealisasikan pencapaian ini,” katanya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kuala Lumpur di sini semalam.

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN) itu bertujuan mengiktiraf kecemerlangan individu dan institusi pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, perniagaan serta pertubuhan sosial.

Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2020 juga sebagai menyokong dan memberi inspirasi bagi mencapai kemajuan, membentuk daya tahan serta meraih kejayaan pihak terlibat tanpa mengetepikan martabat, warisan dan sejarah.

Pemenang anugerah dinilai oleh barisan panel terdiri daripada kalangan tokoh dalam bidang kehakiman, pendidikan, ekonomi dan syariah, antaranya Tun Arifin Zakaria, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Tan Sri Dr Arshad Ayub, Tan Sri Rastam Isa dan Profesor Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.