Cabaran Pearly-M Thinaah berakhir

Aksi Thinaah (kanan) dan Pearly ketika perlawanan menentang Greysia Polii-Apriyani Rahayu pada Kejohanan Masters Malaysia 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - Foto Bernama
Aksi Thinaah (kanan) dan Pearly ketika perlawanan menentang Greysia Polii-Apriyani Rahayu pada Kejohanan Masters Malaysia 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

CABARAN wakil wanita tunggal negara pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 berakhir selepas beregu Pearly Tan-M Thinaah tewas kepada beregu Indonesia pada pusingan kedua di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini hari ini.

Gandingan muda negara yang mara ke undian utama, bagaimanapun terpaksa tunduk kepada pilihan kelapan kejohanan Greysia Polii-Apriyani Rahayu 20-22, 15-21.

Semalam, pasangan negara yang memulakan aksi sulung mereka di kejohanan berstatus Super 500 tahun ini mengetepikan rakan sepasukan Anna Cheong-Lim Chiew Sien.

Bagi Thinaah, kejohanan Masters Malaysia telah memberi satu pengalaman yang berharga di samping dapat membantu mengenal pasti tahap prestasi mereka sehingga kini.

"Lawan kami lebih berpengalaman dan lebih tenang walaupun kami mendahului mata pada set pertama. Kami cuba untuk mengejar semula mata tetapi gagal.

"Ini juga penampilan sulung dalam kejohanan yang bertaraf tinggi. Jadi, saya harap kami banyak boleh belajar daripada perlawanan ini dan terus berusaha lebih gigih untuk kejohanan akan datang,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Sementara itu, bagi Pearly yang turut melakar kejutan bersama Man Wei Chong menewaskan beregu campuran elit dunia dari Indonesia semalam mengakui tahap saingan di Masters Malaysia ini berbeza daripada kejohanan yang lebih rendah yang pernah disertainya. - Bernama

Artikel Berkaitan: