KUFC tawar kontrak kepada tiga pemain import

Wan Mohd Zul Ikman
Wan Mohd Zul Ikman
A
A
A

PENDATANG baharu Liga Premier 2020, Kelantan United FC (KUFC) menawarkan kontrak kepada tiga pemain import bagi memperkuatkan kelab itu pada saingan liga berkenaan musim ini.

Setiausaha Eksekutifnya, Wan Mohd Zul Ikman berkata, tiga pemain import berkenaan ialah Adil Kouskous dari Maghribi yang akan bermain di posisi pertahanan, Alyton Alemao (Brazil) dan Gassama Al Fussainey (Gambia), masing-masing akan bermain di posisi tengah pasukan.

"Hari ini mereka telah menandatangani surat tawaran daripada pihak kami dan selepas 16 Januari depan mereka akan menandatangani kontrak penuh.

Kesemua pemain ini telah diuji dan menarik minat barisan kejurulatihan selain bersesuaian dengan keperluan dan peruntukan pasukan yang ada bagi kuota pemain import," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pasukan itu melayakkan diri bersaing dalam saingan Liga Premier bersama satu lagi wakil dari Kelantan iaitu The Red Warriors (TRW) selepas KUFC muncul juara pada saingan Liga M3 musim lepas.

Wan Mohd Zul berkata, berkemungkinan besar KUFC akan menggunakan tiga pemain import sahaja berbanding empat kuota pemain asing yang dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi Liga Premier.

"Kehadiran tiga pemain itu melengkapkan senarai penuh pemain yang akan memperkuatkan KUFC dan semua barisan pemain akan diumumkan pada satu majlis yang bakal diadakan minggu depan.

Tiga pemain import itu yang beraksi di barisan tengah dan pertahanan susulan KUFC mahu memberi lebih peluang kepada penyerang tempatan beraksi bagi membuktikan kemampuan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketiga-tiga pemain import itu akan diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.

"Ia satu perlawanan yang mencabar kepada pemain berikutan Terengganu merupakan pasukan yang bermain di Liga Super yang boleh menguji kemampuan pasukan kami," katanya. - Bernama