Ratu ais AWETA berjaya tamatkan ekspedisi di Antartika

Sharifah Mazlina (dua dari kiri) bersama protegenya menunjukkan sijil pengiktirafan yang diterima.
Sharifah Mazlina (dua dari kiri) bersama protegenya menunjukkan sijil pengiktirafan yang diterima.
A
A
A

SEPANG - Kepulangan empat ratu ais All Women Expedition to Antartica (AWETA) yang berjaya menamatkan ekspedisi di Antartika pada 31 Disember lalu, disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ekspedisi yang diketuai Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir bersama tiga lagi protoge iaitu Salehah Abu Nor, Siti Jumaidah Bensali dan Nurul Atiqah Tamarun juga muncul kumpulan wanita pertama berjaya menyelesaikan misi ke Kutub Selatan itu.

Menurut Sharifah Mazlina, selepas tujuh hari pengembaraan, protegenya berjaya tiba dengan selamat di 'South Pole Camp' pada jam 3.53 pagi, 31 Disember lalu waktu Malaysia sekaligus secara rasmi telah dinobatkan Ratu Ais AWETA 2018/2019.

"Mereka telah memulakan ekspedisi bermula 25 Disember dan berjaya menamatkannya pada 31 Disember lalu dengan jarak 110 kilometer menggunakan kaedah berski.

"Pelbagai halangan seperti faktor cuaca dan masalah kesihatan antara cabaran yang terpaksa ditempuhi.

"Alhamdulillah protege-protege saya berjaya menempuhinya dan menamatkan ekspedisi ini mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya pada sidang media sempena majlis menyambut ketibaan kumpulannya di KLIA.

Mengulas lanjut, Sharifah Mazlina berkata, kejayaan yang dicapai kumpulannya itu tidak akan tercapai tanpa adanya sokongan padu daripada semua pihak.

"Saya hendak ucap terima kasih kepada semua pihak khususnya penaja yang banyak menyumbang bagi melancarkan ekspedisi ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut memberikan kata-kata semangat kepada pasukan kami," katanya.

Kepulangan ratu ais AWETA disambut meriah di KLIA hari ini.
Kepulangan ratu ais AWETA disambut meriah di KLIA hari ini.

Dalam pada itu, ditanya apakah harapan beliau kepada wanita di negara ini selepas pasukannya itu berjaya membuktikan kejayaan tersebut, Sharifah Mazlina berkata, diharap lebih ramai golongan itu tampil melibatkan diri dalam sukan ekstrim.

"Saya juga merancang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti yang pelbagai cabang bagi menarik penglibatan golongan wanita.

"Aktiviti kita selepas ini tidak hanya tertumpu kepada program ekspedisi tetapi kita akan mengembangkan lagi," katanya.

Sementara itu, dalam majlis sama turut berlangsung pelancaran e-book Travelog Mencari Ratu Ais Antartika.

Pelancaran buku atas talian terbitan anak syarikat Kumpulan Karangkraf, Alaf 21 itu disempurnakan wakil Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu(MPM), Tan Sri Abd Rahman Hamid.