UPKO bekerjasama dengan Warisan-PH kerana kehendak rakyat

Wilfred Madius Tangau (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Kampung Daingin hari ini. - Foto: Bernama
Wilfred Madius Tangau (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis di Kampung Daingin hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KIMANIS - Keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) dan bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan baharu di Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas kerana mengikut pilihan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan.

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau semasa menyatakan perkara itu berkata, analisis selepas keputusan PRU14 lepas mendapati 60 peratus pengundi di negeri ini memilih Warisan dan PH sekali gus membuktikan rakyat mahukan pertukaran pentadbiran kerajaan.

Justeru, beliau berkata, ahli Majlis Tertinggi UPKO duduk berbincang selepas menganalisis situasi berkenaan dan keputusan diambil untuk bekerjasama dengan Warisan dan PH.

"BN hanya memiliki 29 kerusi dimenangi termasuk lima kerusi milik UPKO ketika itu (PRU14), tidak cukup untuk membentuk kerajaan memerintah yang memerlukan 31 kerusi.

"Blok lawan ketika itu (Warisan dan PH) juga memiliki 29 kerusi dan situasi ini menyebabkan pembentukan kerajaan tergantung-gantung, dan dalam keadaan ini, UPKO menganalisis dan melihat keputusan dipilih rakyat," katanya ketika berucap pada perasmian UPKO Cawangan Penampang Baru di sini hari ini.

Penjelasan itu juga beliau berkata, sebagai menyangkal tuduhan bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang membangkitkan bahawa UPKO sebagai pengkhianat kepada BN.

"Namun rakyat mahukan perubahan, apabila kerajaan tergantung, kemudian UPKO memikirkan mengenai perjuangan hak orang Sabah serta penyelesaian termasuk masalah kebanjiran pendatang asing," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, UPKO sewaktu pemerintahan kerajaan BN sering digelar sebagai pembangkang dalam BN kerana berani mengkritik sebarang keputusan tidak betul yang dibuat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Madius menggesa 2,000 penyokong UPKO di Parlimen Kimanis mengundi calon Warisan, Datuk Karim Bujang bagi mengukuhkan kerajaan negeri hari ini yang dipimpin parti tempatan Sabah.

Hari ini, sebanyak 87 penduduk Kampung Daingin dan Kampung Penampang Baru menyertai UPKO Cawangan Penampang Baru.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Januari ini, Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Karim, 67, yang akan ditentang calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis. - Bernama