Kerajaan diminta atasi segera isu agihan benih padi

Shaharizukirnain
Shaharizukirnain
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan diminta menangani masalah agihan benih padi dengan segera serta memastikan bantuan disalurkan sampai kepada pesawah tepat pada masanya.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kelewatan pengagihan benih padi akan memberi impak bukan sahaja kepada pesawah malah turut menjejaskan hasil pengeluaran beras.

"Saya terkilan dengan isu pesawah yang kerugian RM4.5 juta disebabkan oleh kelewatan pengagihan benih padi sedangkan mereka amat bergantung kepada subsidi benih padi yang diberikan oleh kerajaan.

"Isu ini telah saya suarakan di Dewan Rakyat dan hari ini ia benar-benar berlaku.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seharusnya bertanggungjawab terhadap isu kelewatan pengagihan benih dengan segera memberi pampasan kepada pesawah bagi menampung kerugian yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shaharizukirnain, pesawah bukan sahaja menghadapi masalah kekurangan bekalan malah bekalan diterima kurang berkualiti turut membawa implikasi negatif kepada hasil beras tempatan.

Katanya, beliau bimbang keadaan itu memberi kesan kepada sasaran kerajaan bagi meningkatkan jumlah pengeluaran beras untuk tahap sara diri (SSL).

“Berdasarkan jawapan lisan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada sidang Dewan Negara baru-baru ini, SSL beras masih pada tahap 70 peratus dan ia agak mustahil untuk mencapai sasaran kerajaan iaitu 75 peratus pada tahun ini jika isu pengagihan serta penambahbaikan kualiti benih padi tidak diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

"Pengeluaran padi sepatutnya mencapai 70 peratus hasil beras tempatan dan hanya 30 peratus sahaja adalah beras import namun kualiti beras tempatan yang semakin berkurang mendorong kepada permintaan beras import lebih tinggi.

"Oleh itu kerajaan perlu membendung masalah agihan benih padi dan segera mencari inisiatif baharu bagi meningkatkan kualiti benih padi agar kebergantungan beras import dapat dikurangkan sekali gus dapat membantu para pesawah meningkatkan hasil pendapatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 2,000 petani di Pendang Selatan mengalami kerugian kira-kira RM4.5 juta apabila padi yang diusahakan mereka di 1,400 hektar sawah padi gagal mendapat bekalan air mencukupi.

Kerugian didakwa berpunca daripada benih padi yang tiba lewat hampir sebulan selain musim kemarau yang bermula awal pada hujung Disember lalu.

Hanya kira-kira 300 hektar dapat diselamatkan kerana petani tersebut bermula awal dengan membeli sendiri bekalan padi daripada pembekal luar.