Ustaz Azhar Idrus kembali berceramah

Ustaz Azhar yang cedera selepas terjatuh dari basikal ketika menyertai kayuhan santai pada 4 November lalu yang tular di media sosial. Beliau dijangka kembali memberi kuliah agama esok di surau Kampung Pak Tuyu.
Ustaz Azhar yang cedera selepas terjatuh dari basikal ketika menyertai kayuhan santai pada 4 November lalu yang tular di media sosial. Beliau dijangka kembali memberi kuliah agama esok di surau Kampung Pak Tuyu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI dijangka kembali menyampaikan kuliah agama di surau Kampung Pak Tuyu, Gong Badak selepas solat Maghrib esok.

Ini merupakan penampilan pertama Ustaz Azhar berceramah di khalayak umum selepas berehat panjang berikutan kecederaan yang dialami kerana terbabit kemalangan basikal ketika menyertai kayuhan santai di sini pada 4 November tahun lalu.

Sumber rapat penceramah itu berkata, kesihatan Ustaz Azhar semakin baik dan kuliah Maghrib kira-kira sejam esok akan menjadi penilaian kepada keadaan tulang rahangnya yang turut cedera ketika kemalangan tersebut.

"Kuliah esok juga boleh dikatakan sebagai percubaan kerana ustaz nak test (uji) rahang sama ada dia boleh bercakap lama (berceramah) lama atau sebaliknya selepas kemalangan itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sumber itu memaklumkan, pegawai perubatan menasihati Ustaz Azhar supaya berehat antara tiga hingga enam bulan supaya kecederaannya benar-benar pulih selepas keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh dua bulan bercuti Ustaz Azhar merindui rutin hariannya memberi kuliah agama di masjid dan beliau tidak sabar untuk kembali menyampaikan ilmu walaupun sikunya belum pulih sepenuhnya.

"Beliau ada kuliah agama di lapan lokasi di Kuala Terengganu dan dua lokasi di Kuala Lumpur pada bulan ini.

"Bulan depan, beliau akan berganding dengan penceramah popular Indonesia, Ustaz Abdul Somad dalam satu majlis di Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 November lalu, UAI dilaporkan cedera selepas terlibat kemalangan ketika menyertai kayuhan santai di sekitar bandaraya Kuala Terengganu.

Berita beliau terjatuh basikal itu tular di laman sosial dengan rata-rata netizen mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan penceramah tersohor tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Azhar Idrus cedera terjatuh ketika berbasikal