Polis Perak terus pantau LTTE, kumpulan ekstremis

Razarudin (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada anggota polis yang memberikan sumbangan serta mengharumkan nama jabatan sempena Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bagi Bulan Januari 2020 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Razarudin (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada anggota polis yang memberikan sumbangan serta mengharumkan nama jabatan sempena Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bagi Bulan Januari 2020 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Polis Perak akan terus memantau perkembangan ideologi ekstremis serta kecenderungan menyokong pergerakan pengganas seperti Gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), komunis dan militan Daesh.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya melalui risikan yang dilakukan oleh Cawangan Khas akan terus memantau pergerakan aktiviti kumpulan-kumpulan ekstremis tersebut.

Menurutnya, secara keseluruhan, keadaan keselamatan di Perak masih dalam keadaan terkawal.

"Namun demikian, PDRM perlu sentiasa berjaga-jaga dengan beberapa perkara yang dibimbangi boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

"Selain itu, pemantauan kegiatan jenayah berunsur penyeludupan dadah, imigran dan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara perlu dipertingkatkan," katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bagi Bulan Januari 2020 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, kadar keseluruhan kes jenayah di Perak pada tahun 2019 mencatatkan penurunan sebanyak 4.2 peratus iaitu 216 kes berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, antara pencapaian membanggakan pada 2019, Polis Perak menerusi Jabatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya menumpaskan enam makmal dadah di negeri ini dengan nilai harta yang disita berjumlah RM4.75 juta iaitu peningkatan sebanyak 120 peratus berbanding tahun 2018.

Beliau berkata, bagi kes pembanterasan perjudian, sebanyak 1,293 kes serbuan direkodkan sepanjang tahun 2019 berbanding 821 serbuan yang dibuat sebelum itu dengan 1,781 orang ditangkap.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jumlah rampasan bagi kes perjudian juga meningkat daripada RM406,578 pada 2018 kepada RM741,135 pada tahun lalu.

Razarudin berkata, bagi kes-kes komersial, kesedaran dalam kalangan masyarakat di negeri ini terhadap sindiket dan penipuan urusan jual beli semakin meningkat berdasarkan pengurangan kertas siasatan yang dibuka pada tahun lalu iaitu hanya 163 kes bersamaan 8.2 peratus.

Menurutnya, sebanyak 68 kertas siasatan dibuka berkaitan Akta Pemberi Pinjam Wang Berlesen (Ah Long) pada tahun 2019 yang berkurang daripada tahun sebelumnya sebanyak 77 kes yang dibuka.

"Bagi penyelesaian kes sepanjang tahun 2019 pula, sebanyak 70.3 peratus bersamaan 3,453 kertas siasatan telah berjaya diselesaikan. Ini bermaksud, setiap 10 kes yang dilaporkan, sebanyak tujuh kes berjaya diselesaikan.

"Syabas dan tahniah kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan yang dicapai sepanjang tahun 2019 lalu," katanya.

Sementara itu, Razarudin turut menggesa setiap ketua jabatan, ketua polis daerah, ketua formasi dan penyelia supaya lebih komited mengawal serta memantau perkara berkaitan perbuatan tidak berintegriti, salah laku, rasuah termasuk penyalahgunaan dadah bagi memastikan warga Polis Perak sentiasa berada di landasan yang betul.