X

Kindly register in order to view this article
!

Kastam rampas kayu cendana, batu kuarza, rokok RM16.91 juta

Mohammad Hamiddan (tiga dari kanan) bersama Ketua Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Wilayah Selatan, Mohd Firdaus Md Mortar (dua dari kiri) ketika sidang media di Wisma Kastam PTP hari ini. - Foto Bernama
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan menyeludup kayu cendana merah, batu kuarza dan rokok putih bernilai RM16.91 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dekat sini awal bulan ini.

Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, serbuan pertama berjaya menemui enam kontena dipercayai dari India yang mengandungi batu kuarza dan kayu cendana merah dengan rampasan bernilai RM8.438 juta pada 1.30 tengah hari, 1 Januari lepas.

“Jumlah kayu red sandalwood (kayu cendana merah) yang ditemui adalah sebanyak 453 batang bersamaan 15,200 kilogram (kg) dengan nilai RM7.6 juta manakala sebanyak 137,950 kg batu kuarza atau dikenali sebagai Quartz Lumps yang bersamaan dengan nilai RM837,770, dirampas menjadikan jumlah keseluruhan RM8.438 juta,” katanya kepada pemberita di Wisma Kastam PTP di sini hari ini.

Beliau berkata, batu kuarza itu tertakluk kepada Larangan Import iaitu pengimportannya memerlukan permit kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Sementara kayu cendana merah pula adalah komoditi yang dikawal di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) dan pengimportannya memerlukan permit dan kebenaran daripada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Beliau berkata, bagi rampasan kesemua barang larangan itu, penyeludup menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum barangan itu dipercayai diseludup ke China.

Pada serbuan berasingan Selasa lepas, Mohammad Hamiddan berkata, pihaknya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok putih dianggarkan bernilai RM1.457 juta dengan cukai yang terlibat sebanyak RM7.016 juta, di lokasi yang sama.

"Rokok putih berjenama Zon King itu ditemui dalam sebuah kontena berukuran 40 kaki dari China yang mengandungi 52,050 karton untuk pasaran tempatan dipercayai Lembah Klang," katanya dan menambah tiada tangkapan dilakukan dalam kedua-dua serbuan itu.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus