Azmin, Zuraida hadir mesyuarat Biro Politik PKR

Mohamed Azmin dan Zuraida
Mohamed Azmin dan Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin membuat kejutan apabila hadir mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi.

Kehadiran Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR itu menarik perhatian kerana sebelum ini mereka gagal hadir dalam mesyuarat biro politik parti dan isu tersebut pernah dibangkitkan parti berkenaan.

Kemelut dalaman PKR bukan lagi rahsia apabila menjadi persaingan terbuka sejak parti itu mengadakan pemilihan bagi semua peringkat kira-kira dua tahun lalu dan keadaan lebih meruncing baru-baru ini.

Keadaan turut menyaksikan ahli parti terbahagi kepada dua kumpulan iaitu penyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Zuraida pula yang dilihat memihak kepada Azmin dan ketegangan dua 'kem' dalam parti itu kemudian memuncak semasa Kongres Nasional PKR Ke-14 di Ayer Keroh, Melaka Disember lalu.

Menurut sebuah portal, Azmin sempat melayan pertanyaan wartawan yang menunggu ketika turun untuk meninggalkan bangunan Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya kira-kira jam 9.35 malam.

Azmin yang dipetik Malaysiakini berkata, beliau berharap 2020 menjadi permulaan yang baik untuk PKR, malah membayangkan masalah yang membelenggu parti itu akan diselesaikan.

"Saya kira tahun 2020 permulaan yang baik. Saya rasa kita mesti berjumpa lebih kerap, berbincang dan kita mesti sama-sama mempunyai rasa hormat dan persefahaman untuk menyatupadukan parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara Zuraida yang keluar dari bangunan jam 9.45 pula apabila ditanya kemungkinan akan dipecat tidak memberikan jawapan yang jelas, sebaliknya beliau hanya memaklumkan hanya akan memikirkan tentang perkara itu apabila tiba masanya.

"Kalau dah berlaku, barulah kita bercakap mengenainya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memberitahu, tiada perbincangan isu disiplin dalam mesyuarat malam tadi dan hanya membincangkan soal rancangan parti serta beberapa perkara lain termasuk Iran dan Amerika Syarikat (AS).

"Lembaga disiplin memaklumkan masih dalam siasatan dan belum ada tindakan," katanya.