1MDB: Bukan kami tak pernah tegur Najib

Tajuddin Abdul Rahman
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin Umno bukan tidak pernah menegur bekas Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1MDB.

Malah menurut, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dua tahun lalu beliau pernah menggesa Najib supaya mengambil tindakan terhadap pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah 1MDB.

Jelasnya lagi, beliau turut menggesa Najib supaya mempercepatkan siasatan terhadap 1MDB, International Petroleum Investment Co (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS (Aabar) kerana bimbang akan kehilangan kepercayaan daripada rakyat.

“Saya masih ingat kata-kata saya ketika itu kalau tunggu lama-lama nanti kita (Umno) akan menghadapi masalah hilang kepercayaan dalam kalangan rakyat. Orang ramai tidak boleh tunggu, mereka hendak melihat tindakan diambil.

“Saya turut mempersoalkan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung tindakannya membuat transaksi kepada beberapa syarikat dengan begitu mudah, tapi beliau senyap,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Dalam sesi wawancara siaran langsung Facebook Sinar Harian hari ini, Najib tidak menolak kemungkinan Malaysia mungkin telah ditipu oleh jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jelas Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, kerajaan PH perlu melakukan yang terbaik untuk menjejaki Jho Low kerana Umno juga mahu siasatan dijalankan terhadapnya.

“Kita kena menangani masalah ini, tindakan mesti diambil kepada mereka yang bertanggungjawab. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein cakap boleh bantu, berilah dia buat,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mungkin Jho Low tipu Malaysia kata Najib]


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia