Lantikan Prasarana, MAHB bukan bidang kuasa MOT

Anthony Loke ketika sidang media bersama Pengurusan Kumpulan Prasarana di Ibu Pejabat Prasarana Malaysia Berhad, Menara UOA Bangsar hari ini. - Foto Bernama
Anthony Loke ketika sidang media bersama Pengurusan Kumpulan Prasarana di Ibu Pejabat Prasarana Malaysia Berhad, Menara UOA Bangsar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah perkara yang bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT).

Ketika menjelaskan perkara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Prasarana adalah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala MAHB pula sebahagiannya dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd dan tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia.

"Pelantikan CEO Prasarana bukan di bawah bidang kuasa saya kerana ia merupakan sebuah syarikat MKD.

“Keadaan sama untuk MAHB yang merupakan sebuah syarikat awam tersenarai dengan sebahagian daripada (kepentingannya) dimiliki oleh Khazanah. Oleh itu, Lembaga Pengarah yang akan membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai perkembangan terbaru membabitkan Pas Perjalanan Tanpa Had Prasarana My100 dan My50 di sini hari ini.

Laporan media kelmarin menyatakan bahawa Presiden dan CEO Prasarana, Mohamed Hazlan Mohamed Hussain yang dilantik menyandang jawatan itu pada 3 September 2018 telah digantung tugas oleh Lembaga Pengarah syarikat itu.

Selain itu, MAHB pada Isnin memaklumkan Bursa Malaysia bahawa CEO Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin telah melepaskan jawatan itu bagi meninjau peluang lain.

Berikutan itu, Lembaga Pengarah MAHB telah melantik Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh yang merupakan Ketua Pegawai Operasi untuk memangku tugas CEO tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: MAHB lantik Mohd Shukrie sebagai Pemangku CEO

Khazanah mahu Raja Azmi berundur?