Bekas pegawai kanan DBKL tak mengaku salah ubah wang haram

Sabudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM276,400, pada tahun lepas. - Foto Bernama
Sabudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM276,400, pada tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM276,400, pada tahun lepas.

Sabudin Mohd Salleh, 58, yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Hakim, S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, Sabudin didakwa telah menggunakan wang berjumlah RM108,000 melalui lima keping cek yang telah ditunaikan ke dalam akaun di Agro Bank Berhad milik Sky Active Agro Farm bagi tujuan pembelian 40 ekor lembu dan wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Malaysia Berhad, cawangan Seri Iskandar, No 1 dan 1A, Jalan PP1, Bandar Universiti Seri Iskandar antara 5 April hingga 29 April 2019.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menggunakan wang tunai hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM147,400 melalui lima transaksi bagi pembelian 51 ekor lembu daripada Mohamed Yusof Yasin, di No 1961, Kampung Tersusun, Batu 3, Kampar antara 1 April hingga 20 April 2019.

Mengikut pertuduhan ketiga, Sabudin didakwa telah menggunakan wang tunai hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM21,000 melalui dua transaksi sebagai pendahuluan pembelian 18 ekor lembu daripada Abdul Razak Abdul Rani, di KM 24, Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan, antara 10 April hingga 6 Mei 2019.

Bagi kesemua pertuduhan, Sabudin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM20,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan terhadap Sabudin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Aiman Abdul Rahman bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik dengan SPRM dan dia penanggung utama keluarga.

"Selain menanggung seorang isteri dan dua anak yang masing-masing masih belajar di Tingkatan Lima dan Universiti Teknologi Petronas, beliau yang baru dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa lepas dan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor semalam telah membayar sejumlah RM220,000 wang jaminan," katanya.

Hakim Indra Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan selain menetapkan 28 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar wang jaminan itu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pegawai kanan DBKL didakwa terima rasuah RM1.08 juta