Nur Shazia Airis bertemankan jarum setiap masa

Shazia terpaksa menggunakan tiub makanan untuk minum susu.
Shazia terpaksa menggunakan tiub makanan untuk minum susu.
A
A
A

MACHANG - Usianya hanya 11 bulan tetapi perlu menghadapi kesukaran dan kesakitan akibat mengalami masalah pankreas yang menghasilkan insulin berlebihan atau lebih dikenali sebagai Congenital Hyperinsulinism.

Nur Shazia Airis Mohd Syazwan terpaksa menggunakan wayar susu melalui hidung dan sentiasa dalam keadaan lemah jika tidak mendapat penjagaan rapi.

Si kecil itu tidak bebas seperti bayi lain yang sedang dalam proses belajar merangkak dan berjalan kerana dia perlu disuntik ubat setiap enam jam sekali.

Ibunya, Siti Noradila Mohd Nurdin, 26, memberitahu, anaknya itu disahkan mengalami penyakit tersebut selepas lima jam selepas dilahirkan.

"Saya melahirkan Nur Shazia di Hospital Machang tetapi dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas mengalami kebiruan dan menerima rawatan selama tiga bulan di wad.

"Nur Shazia perlu disuntik setiap enam jam dan minum susu dua jam sekali mengikut sukatan yang telah ditetapkan.

"Jika lambat disuntik badannya akan lemah dan tidak bermaya. Jadi saya perlu pastikan kandungan gula dalam badannya stabil mengikut keperluan. Menurut doktor jika berlaku kekurangan gula yang maksimum dia boleh menghidap sawan," katanya ketika ditemui di Kampung Merbau Chondong hari ini.

Artikel Berkaitan:

Noradila perlu sentiasa berjaga-jaga dengan kandungan gula dalam badan Shazia bagi mengelak sawan.
Noradila perlu sentiasa berjaga-jaga dengan kandungan gula dalam badan Shazia bagi mengelak sawan.

Menurutnya, doktor memaklumkan penyakit yang dialami Nur Shazia adalah satu dalam sejuta dan memerlukan rawatan di luar negara dengan kos yang sangat tinggi.

Siti Noradila memberitahu pihak hospital sudah mengambil sampel darahnya bersama suami dan anak sulung untuk menjalani ujian di luar negara bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai penyakit Nur Shazia namun masih belum menerima sebarang makluman sejak enam bulan lalu.

"Ia sangat penting untuk kami tahu jenis penyakit yang dialami selain membantu memudahkan kami menjalani rawatan.

"Buat masa sekarang, doktor minta kami beri Nur Shazia ubat untuk kawal gula, selain cadangan kaedah pembedahan Laparoscopic Pancreas di China atau Eropah," katanya.

Dengan hanya bergantung sepenuhnya pada suami, Mohd Syazwan Mat Yaakub, 30 yang bekerja sebagai penjawat awam dan berpendapatan RM1,700 sebulan, ia bukan sesuatu yang mudah bagi Noradila.

"Saya pernah tanya doktor berapa kos untuk pembedahan di luar negara, tapi mereka belum maklum lagi. Cuma sekarang ini Shazia perlukan RM1,000 sebulan untuk ubat, susu dan peralatan suntikan.

"Penjagaan kebersihan melibatkan peralatan suntikan juga perlu diberikan perhatian khusus supaya tidak mudah dijangkiti bakteria," katanya.

Shazia bersama ibunya Noradila.
Shazia bersama ibunya Noradila.

Besar harapan seorang ibu untuk melihat anaknya kembali pulih dan bermain seperti kanak-kanak lain.

Mereka yang sudi menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Noradila di talian 0145307190.