Bekalan vaksin influenza terhad, harga melonjak RM120?

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harga vaksin influenza bagi mencegah penyakit tersebut didapati mengalami peningkatan sehingga 30 peratus di pasaran.

Difahamkan caj untuk suntikan vaksin influenza melonjak sehingga RM120 bagi satu suntikan disebabkan bekalan vaksin tersebut yang semakin terhad di klinik sekitar Lembah Klang.

Sebelum ini harga bagi mendapatkan suntikan tersebut hanyalah sekitar RM80 sahaja di klinik swasta.

Menurut seorang penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, kebanyakan rakan-rakannya memaklumkan tentang pengambilan vaksin tersebut.

"Selepas itu saya hubungi sebuah klinik berhampiran dengan rumah dan pihak klinik beritahu hanya tinggal satu sahaja lagi suntikan vaksin di klinik mereka.

"Pembantu klinik beritahu ramai orang sudah dapatkan suntikan sejak beberapa hari lalu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, seorang suri rumah di Jalan Klang Lama, Yusnilah Yunus, 38, berkata, beberapa buah klinik dikunjungi di sekitar kediamannya semalam memaklumkan stok vaksin influenza di klinik mereka sudah kehabisan.

“Saya pergi ke tiga buah klinik di sekitar Taman Desa semalam tetapi tiada stok vaksin di klinik tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, mereka memberitahu akan menghubungi saya jika sudah menerima bekalan vaksin baharu dengan harga satu suntikan RM90,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, kelmarin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagaimanapun menyangkal dakwaan dan khabar angin yang menyatakan stok ubat-ubatan bagi merawat jangkitan influenza di fasiliti KKM tidak mencukupi atau sudah kehabisan stok.

Menurut Program Perkhidmatan Farmasi KKM, berikutan jangkitan influenza yang merebak dalam negara, pihak KKM turut mengambil inisiatif untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada pembekal alternatif dalam memastikan stok ubat-ubatan mencukupi dan memenuhi permintaan.

Buat masa ini, kedudukan stok Oseltamivir 75mg Capsule dan Oseltamivir 60mg/5ml Oral Suspension adalah mencukupi bagi menampung keperluan rawatan inflluenza di fasiliti KKM.

Jangkitan influenza turut dilaporkan boleh menyebabkan komplikasi radang paru-paru (pneumonia) yang seterusnya boleh membawa maut.