Wei Chong-Pearly singkir pasangan elit

Wei Chong-Pearly Tan mengejutkan pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti. Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM
Wei Chong-Pearly Tan mengejutkan pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti. Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM
A
A
A

TIDAK percaya. Itulah ungkapan pertama yang terpacul daripada mulut pasangan muda negara, Man Wei Chong-Pearly Tan, yang mencipta kejutan terbesar menyingkirkan pasangan elit dunia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Lebih manis, rentak cemerlang pasangan di ranking ke-89 dunia itu dicipta pada penampilan sulung mereka di kejohanan berstatus Super 500.

Pada perlawanan pusingan pertama, Pearly-Wei Chong hanya memerlukan 27 minit untuk menamatkan perjuangan pasangan Indonesia, yang menduduki ranking kelima dunia, dengan keputusan 21-18, 21-13.

Menurut Pearly, selepas menonton video aksi pasangan Indonesia itu, beliau sendiri merasakan adalah mustahil untuk dirinya dan Wei Chong mengatasi pemenang pingat emas Sukan SEA ke-30 di Filipina, Disember lalu.

Mengakui agak gementar, namun turun tanpa tekanan memberikan kelebihan kepada mereka untuk menyajikan permainan yang lebih baik berbanding pasangan lawan yang lebih tertekan serta melakukan kesilapan mudah.

"Kami tak sangka boleh menang perlawanan ini. Saya dan rakan (Wei Chong) memberikan persembahan terbaik manakala lawan lebih tertekan dan melakukan kesilapan mudah di jaring dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Wei Chong berkata, beliau sendiri agak terkejut apabila mencatat kemenangan kerana mereka sering digandingkan hanya sekiranya ada kejohanan tertentu serta disenaraikan oleh pihak kejurulatihan.

Pasangan negara bakal berdepan satu lagi saingan sengit, juga dari lawan dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja yang menduduki ranking kesembilan dunia, pada pusingan kedua esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: