X

Kindly register in order to view this article
!

Katakan yang bermanfaat atau diam

A
A

KALI ini saya menulis dengan penuh kesedihan. Sedih dengan dunia yang penuh dengan fitnah.

Dulu sebelum adanya WhatsApp, Telegram dan seumpamanya, hidup saya lebih tenang kerana tidak terdedah banyak kepada bicara orang lain melainkan jika kita lepak di kedai kopi atau di laman rumah bersama jiran tetangga atau kawan.

Keadaan amat jauh berbeza dengan suasana hari ini. Jika kita berada dalam kumpulan WhatsApp, Telegram atau mana-mana media sosial, kita pasti akan terdedah dengan 1,001 macam benda, baik dalam bentuk mesej bersuara atau dalam bentuk tulisan.

Berbicara di atas skrin terutama secara tulisan ibarat berbicara dengan dinding. Kerana itu kadangkala kita lepaskan bicara kita mengikut suka hati kita kerana tiada objek hidup di hadapan mata kita. Yang ada hanyalah tulisan dengan pelbagai gaya yang kadangkala kita baca dan terjemah ikut persepsi kita.

Gaya kita mungkin agak berbeza bila kita berbicara secara berdepan dengan kawan, jiran, ahli keluarga dan mana-mana manusia lain. Kontak mata, senyuman, intonasi dan sebagainya akan mempengaruhi gaya kita berkomunikasi dengan pihak yang berhadapan dengan kita.

Begitu juga dalam aspek penyebaran sesuatu perkara/maklumat pula. Dalam dunia teknologi moden hari ini, kita dapat sesuatu maklumat dalam beberapa saat sahaja. Semuanya di hujung jari kita. Semua benda kita nak ulas biarpun kita tiada ilmu mengenainya. Malah kita tidak cuba mencari dahulu fakta berkaitan sebelum memberi apa-apa respons.

Sewajarnya jika kita tidak ada maklumat mengenai sesuatu perkara, carilah dahulu sebelum kita membuat ulasan, sama ada dengan cara membaca daripada sumber yang boleh dipegang atau bertanya kepada pihak yang ada kepakaran.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 43 yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahl al-Zikr (yang berpengetahuan) sekiranya kamu tidak mengetahui (sesuatu perkara).”

Inilah jalan yang ALLAH telah tunjukkan kepada kita. Sukar sangatkah untuk bertanya dahulu pada zaman teknologi moden hari ini?

Sebenarnya tidak ada alasan untuk kita berkata sukar. Segalanya berada di hujung jari kita. Jika kita seorang yang sangat sedar dan sangat menghayati bahawa setiap patah tulisan/bicara kita akan dihisab ALLAH pada hari pembalasan kita, tentu sekali kita tidak akan berkata-kata melainkan yang membawa manfaat kepada kita dan orang lain. Jika sebaliknya kita lebih suka memilih untuk berdiam diri.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhir, hendaklah dia berkata yang baik atau diam (sahaja).”

Ya, memang benar sekali apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Jika kita hadkan bicara kita kepada yang bermanfaat sahaja, tentu sekali tidak akan berlaku sesuatu yang tidak baik dalam kehidupan kita baik terhadap diri kita atau terhadap masyarakat di sekeliling kita. Hal sama juga jika kita mengambil sikap berdiam diri apabila kita tahu bicara kita tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat baik kepada diri kita, apa lagi kepada orang lain.

Malah dengan berdiam diri dapat menyelamatkan diri kita daripada api neraka dan juga dapat menyelamatkan orang lain juga daripada terus terpedaya dengan kata-kata yang tidak benar dan terpengaruh dengan berita palsu.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa orang yang banyak bercakap akan banyak melakukan kesilapan dan orang yang banyak buat silap, akan banyak dosanya dan orang yang banyak dosanya tiada tempat yang paling layak untuknya melainkan neraka. Jelas bukan?

Cukuplah kita menyibukkan diri kita dengan perkara yang dalam tanggungjawab kita dan yang boleh mendatangkan manfaat kepada kita dan masyarakat di sekeliling kita sahaja.

Kita tidak boleh memandang rendah tanggungjawab mewujudkan masyarakat yang bermanfaat. Akhir kalam, jadilah manusia yang tidak menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Wallahu a’lam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!