Banyak boleh dipelajari dari hospital

Gambar hiasan. Foto: sumber internet
Gambar hiasan. Foto: sumber internet
A
A
A

KALAU hendak menguji kesabaran berkunjunglah ke mana-mana hospital kerajaan untuk mendapatkan apa juga rawatan.

Sudah menjadi rutin dua mingguan saya – sejak tiga bulan lalu saya disahkan bermasalah jantung dan buah pinggang – untuk datang ke pusat pengambilan darah sebuah hospital.

Ujian kesabaran pertama: Nombor saya 8024. Ketika saya tiba jam 9 pagi sedang dipanggil ialah 6205. Saya boleh mengagak giliran saya paling cepat pun sejam lagi, boleh jadi sehingga lewat tengah hari.

Ujian kesabaran kedua: Nombor dipanggil tidak mengikut giliran, ini memang telah diberitahu oleh petugas di kaunter.

Setelah menunggu lebih sejam, telah dipanggil nombor-nombor 5896, 5899, 8013, 8026, 8023. Nombor 8013 sudah, 8023 sudah, 8026 pun sudah. Mana 8024?

Ujian kesabaran ketiga: Saya telah berpuasa sejak azan subuh – diminta mengosongkan perut selama enam jam. Menghampiri jam 12.15 saya sudah menggeletar kehabisan gula.

Lagi ujian kesabaran: Orang terus berpusu-pusu mengasak tempat duduk yang terhad. Ada yang terpaksa berdiri di tepi tiang atau bersandar dinding.

Terasa betul segalanya berjalan seperti siput. Tetapi harus terima hakikat bahawa itu hospital kerajaan. Seorang petugas melayan berpuluh pesakit.

Artikel Berkaitan:

Berbanding dengan hospital swasta @ pusat rawatan pakar di mana doktor atau petugas memanggil kita ‘Sir’, ‘Datuk’, ‘Tuan’. Memang ‘Sir’, tetapi sekali mendapatkan rawatan bayarannya RM ribu-ribu.

Hospital kerajaan tidak ada ‘Sir’, tidak ada gelaran-gelaran itu. Kalau petugas tersenyum dan mesra, serta berwajah ikhlas, itu sudah dikira baik.

Lain-lain ujian kesabaran termasuklah anak-anak kecil berlari dan menjerit di kawasan menunggu. Mereka buat hospital macam padang permainan. Ibu bapa mereka tidak peduli, sesetengahnya sibuk ber-Facebook atau WhatsApp.

Tetapi, hospital juga tempat meningkatkan rasa simpati dan keinsafan. Tidak perlu menunggu lama, duduk selama lima minit pun kita boleh melihat pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan.

Sebahagian besar warga tua berbagai bangsa dan agama, masing-masing berwajah muram dengan 1,001 macam masalah.

Ada yang bertongkat jalan dipimpin oleh anak atau penjaga. Jangankan hendak melangkah, hendak mengangkat kaki pun tidak berdaya. Selipar yang dipakai sering tanggal dari kaki.

Ramai yang berkerusi roda, ditolak oleh anak atau pembantu. Wajah layu tidak bermaya, mengangkat tangan pun tidak larat. Tangan terkulai di kerusi roda.

Ada yang mengerang kesakitan dengan tangan, kaki dan kepala berbalut. Ada yang berbalut sebelah mata, susah sekali nak berjalan.

Terlalu lama menunggu giliran, ada pesakit terutama warga emas menguap berkali-kali dan akhirnya terlentok di kerusi keletihan.

Kita boleh hilang sabar dan menjerit – juga marah-marah – sebab nombor kita tidak dipanggil. Tetapi tidak ada siapa mendengar jeritan kita. Maka jangan buang tenaga, bernafaslah seperti biasa.

Seorang warga emas bangsa Cina di atas kerusi roda tertumpah minuman, agaknya kerana keletihan menunggu. Cawan kertas terlepas dari tangan, tidak sempat diteguk.

Seorang wanita India di sebelahnya segera mengambil cawan kertas yang telah kosong itu sambil menepuk-nepuk bahu apek terbabit.

Tiba-tiba seorang anak muda Melayu datang membawa minuman dalam kotak yang baru dibeli dan memberikan minuman coklat itu kepada warga emas.

Kemudian beberapa orang lagi datang memberi roti dan buah potong kepada apek yang sedang disuap minuman oleh wanita India.

Suasana sedih kerana minuman tumpah bertukar menjadi ceria apabila orang ramai – tidak kira keturunan dan pegangan agama – menghulurkan bantuan ikhlas kepada yang memerlukan.

Di hospital tempat orang berpusu-pusu dengan urusan dan masalah masing-masing, masih ada yang sayang dan prihatin.

Mereka ikhlas membantu satu sama lain, tanpa mengira warna kulit. Di tempat seperti ini tidak ada Dong Zong, juga tidak ada NGO pelampau kaum. Apa yang ada hanyalah kemanusiaan, keikhlasan dan keharmonian sejati.