Pengganti Kim Swee diketahui Mac depan

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka mengumumkan pelantikan ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) yang baharu pada Mac depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan, setakat ini badan induk itu telah menerima sejumlah 12 permohonan termasuk empat jurulatih asing yang berminat untuk mengisi jawatan berkenaan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bakal bersidang pada awal Mac nanti bagi menilai kesemua calon berkenaan sebelum menamakan individu yang layak.

“Kita tidak terburu-buru untuk pelantikan segera memandangkan tiada sebarang kejohanan untuk skuad berkenaan pada tahun ini. Prestasi Petunjuk Utama (KPI) dan beberapa perkara lain yang perlu dicapai oleh calon berkenaan akan diputuskan pada Mac nanti,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.

FAM sebelum ini memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali skuad B-22 negara susulan prestasi hambar yang ditampilkan skuad berkenaan pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Disember lalu.

Malaysia gagal melepasi peringkat Kumpulan A, selain diaibkan dengan kekalahan 1-3 kepada pasukan kerdil, Kemboja pada aksi pusingan awal temasya sukan dwitahunan berkenaan.

Dalam pada itu, Stuart mengesahkan, badan induk itu sedang memuktamadkan pelantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia FAM, susulan pengalaman luas yang dimiliki pengendali kelahiran Melaka itu dalam bola sepak belia di negara ini.

“Kita akan membuat pengumuman berhubung perkara berkenaan tidak lama lagi,” jelas Stuart.

Artikel Berkaitan:

Kim Swee bukanlah nama asing dalam bola sepak belia di negara ini, termasuk mengendalikan skuad B-22 negara sejak Sukan SEA 2011 di Indonesia yang menyaksikan Malaysia meraih pingat emas. - Bernama