X

Kindly register in order to view this article
!

Konflik Iran-AS tak jejas promosi pelancongan Malaysia di Timur Tengah

Dr Noor Zari Hamat (kiri) dan Pengerusi TM, Rosli Man (kanan) menyaksikan Pertukaran Dokumen Kerjasama antara TM dan Tourism Malaysia yang diwakili oleh Ketua Pengarah Tourism, Datuk Musa Yusof (dua dari kiri) dan Naib Presiden Group Brand and Communication TM Izlyn Ramli (dua dari kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama di Menara Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Konflik Iran dan Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan usaha Malaysia mempromosi pelancongan di negara-negara Timur Tengah, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Beliau berkata, kementerian itu bagaimanapun memantau rapat situasi semasa di rantau berkenaan bagi mengenal pasti sama ada ia memberi impak terhadap industri pelancongan.

“Memang satu daripada usaha kami adalah untuk membawa pelancong dari Timur Tengah dan usaha kami tidak akan berhenti untuk melakukan promosi di negara-negara tersebut.

“Impaknya (konflik Iran-AS) saya rasa belum dilihat lagi pada masa ini tetapi saya dah bincang dengan Datuk Musa, (Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof), kami akan pantau perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kerjasama di antara Tourism Malaysia dengan Telekom Malaysia Berhad sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengenai persepsi kononnya promosi TMM2020 di negara ini hambar, Musa berkata, persepsi itu salah kerana pihaknya telah melakukan promosi itu sejak 2017.

“Ini adalah silap persepsi, Tourism Malaysia telah melancarkan pelancaran awal TMM2020 pada November 2017 di London. Bulan Januari kami lancar sekali lagi di Forum Pelancongan ASEAN di Thailand,” katanya. - Bernama