Warisan perjelas isu PSS, beri kefahaman kepada rakyat

Seorang penduduk Kampung Kelatuan Batu Lapan Normilah Salleh, 38, (kanan) bersama rakan-rakan sekampung melihat risalah mengandungi maklumat mengenai PSS sambil mendengar penerangan diberikan oleh salah seorang jentera kempen Parti Warisan Sabah di kampung tersebut hari ini. - Foto: Bernama
Seorang penduduk Kampung Kelatuan Batu Lapan Normilah Salleh, 38, (kanan) bersama rakan-rakan sekampung melihat risalah mengandungi maklumat mengenai PSS sambil mendengar penerangan diberikan oleh salah seorang jentera kempen Parti Warisan Sabah di kampung tersebut hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KIMANIS - Bagi menangkis provokasi dicetuskan pembangkang mengenai isu Pas Sementara Sabah (PSS), jentera Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis mengatur strategi mengedar risalah mengandungi maklumat PSS di setiap lokasi ceramah mereka.

Meskipun pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan kepada Warisan berhubung PSS, ia tidak menghalang jentera kempen parti itu untuk terus memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pelaksanaan pas berkenaan melalui risalah tersebut atas inisiatif Biro Penerangan, Multimedia dan Pendidikan Warisan.

Setiausaha biro berkenaan, Rapahi Idris berkata, risalah itu diedarkan bertujuan memberi gambaran sebenar mengenai PSS kepada rakyat khususnya di Kimanis dan mengapa pas itu perlu dilaksanakan di Sabah.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan rakyat Kimanis mengetahui dan memahami PSS bukanlah kad pengenalan seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya ia adalah pas Imigresen yang mempunyai ciri-ciri keselamatan biometrik bagi menggantikan dokumen IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

“Orang ramai dilihat agak sukar untuk memahami pelaksanaan PSS jika penerangan mengenainya dilakukan hanya secara lisan, justeru, kami mengambil inisiatif mengedarkan risalah ini supaya rakyat boleh baca dan memahaminya,” kata beliau kepada Bernama di sini.

Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.

PSS dikeluarkan bagi meningkatkan penguatkuasaan, sekali gus memastikan rekod warga asing di Sabah berpusat serta diseragamkan dan ia hanya sah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui pada harga RM120.

Rapahi berkata, maklumat mengenai PSS dimuatkan dalam risalah berkenaan yang turut menerapkan ilustrasi serta grafik menarik yang akan dapat menyampaikan info berkaitan secara lebih interaktif dan mudah difahami oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kami berharap individu membaca risalah ini boleh menyampaikan maklumat mengenai PSS kepada rakan lain supaya mereka juga boleh bersama-sama memahami PSS,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kimanis, Normilah Salleh, 38, dari Kampung Kelatuan Batu Lapan berkata, penyampaian maklumat PSS menerusi risalah berkenaan adalah satu pendekatan proaktif dalam memastikan rakyat di kawasan berkenaan benar-benar memahami mengenai pelaksanaan pas itu.

“Isu PSS menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat setempat kerana ada sesetengahnya mendengar atau menerima maklumat tidak betul.

“Bagi saya, risalah seperti ini lebih mudah difahami kerana kita boleh baca selain maklumat mengenai PSS dijelaskan dengan ringkas dan padat sebab ia dilaksanakan. Ini satu pendekatan baik untuk menjawab isu yang menjadi tanda tanya masyarakat setempat,” katanya.

Pandangan sama turut dinyatakan penduduk Kimanis, Liovon James, 48, dari Kampung Langsat, yang berpendapat ia sebagai langkah proaktif bagi menjelaskan mengenai PSS memandangkan masih ada rakyat tidak faham mengenai pas berkenaan.

Risalah berkenaan turut memuatkan maklumat pencapaian Warisan sepanjang mentadbir Sabah selama lebih setahun itu menjadi antara bahan kempen parti pada PRK Parlimen Kimanis selain pendekatan santai menggunakan lagu artis tempatan Sabah bertajuk 'Pembayaran Ansur-Ansur' bagi menawan hati pengundi.

PRK Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Januari dan hari pengundian awal pada 14 Januari. - Bernama