Dakwaan WSJ tak jejas hubungan Malaysia-China

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Laporan Wall Street Journal (WSJ) mengenai tawaran menyelamatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan memberi kesan kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan China atau memburukkan lagi kesan ekonomi akibat pembatalan projek-projek yang dinaungi China, menurut penganalisis.

Penganalisis politik Malaysia dari Insititut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, siri terbaharu dalam pendedahan skandal 1MDB tidak akan menjejaskan hubungan itu dengan ketara, kerana ia dibayangi oleh dua faktor lain yang memberikan impak yang lebih besar.

Faktor-faktor tersebut adalah keputusan Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula pelbagai projek infrastruktur yang dijalankan oleh syarikat-syarikat Cina dan langkah kawalan mata wang China yang lebih ketat.

"Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan semula projek-projek membabitkan China disebabkan hutang negara yang semakin melonjak dan ini telah menyebabkan tekanan dalam hubungan antara kedua-dua negara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara projek yang menerima kesan adalah Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, Laluan Kereta Api Pantai Timur serta Forest City di Johor, manakala tiga projek paip minyak dan gas bernilai AS$3 bilion (RM12.44 bilion) telah dibatalkan.

Selain daripada pembatalan projek-projek yang mendapat sokongan China, beliau menegaskan langkah kawalan mata wang China yang lebih ketat telah menyebabkan modal semakin sukar untuk dibawa keluar dalam usaha membuat pelaburan di Malaysia.

Kata Oh, pelabur China biasanya mencari peluang-peluang seperti insentif, terutamanya dalam bentuk pengurangan cukai atau diskaun dalam harga tanah, sebelum memuktamadkan lokasi pelaburan mereka.

"Ini disebabkan apabila pemerintah China membuka negara itu untuk pelaburan asing, ia menyediakan insentif tersebut dan China menjangka perkara yang sama di negara lain apabila ia datang untuk melabur. Jadi, selagi terdapat insentif seperti itu, mereka akan mempertimbangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedutaan China di Malaysia semalam berkata, kedua-dua negara pada sepanjang masa menganggap hubungan mereka sebagai "jiran yang mesra dan rakan-rakan yang ikhlas".

Malah, ia berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-45 usia hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, yang mana, akan membuka peluang baharu dalam hubungan China-Malaysia.

China juga menafikan dakwaan WSJ bahawa beberapa pemimpin China telah menawarkan bantuan bagi menyelamatkan 1MDB pada 2016 dan sebagai imbuhan, mereka diberikan kontrak yang besar.

Beijing tidak pernah meletakkan syarat-syarat politik dalam kerjasamanya dengan negara-negara lain.

"China sentiasa mematuhi prinsip untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain. Kami menolak apa-apa tuduhan yang tidak berasas ke atas China," kata kedutaan itu.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi pelbagai tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB, turut menafikan dakwaan WSJ melalui catatan pada akaun Facebook beliau: "Tidak wujud perkara seperti itu." - Bernama