Bursa Malaysia ditutup rendah selari indeks global

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, selari prestasi pasaran global ekoran ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah Antara Washington dan Tehran.

Pada penutupan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 1.36 peratus atau 21.94 mata lebih rendah kepada 1,589.10 berbanding 1,611.04 pada penutupan semalam.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 883 berbanding 171 manakala 284 kaunter tidak berubah, 599 tidak diniagakan dan 13 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.86 bilion saham bernilai RM2.22 bilion berbanding 2.98 bilion saham bernilai RM1.79 bilion semalam.

Seorang penganalisis berkata, pasaran tempatan menjejaki kerugian semalaman di Wall Street yang merosot 119.70 mata manakala Nikkei Jepun jatuh 370.96 atau 1.57 peratus hari ini berikutan tindak balas oleh Iran ke atas Amerika Syarikat.

Beliau berkata, bursa tempatan dijangkakan kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat sementara pelabur menanti ucapan Presiden Donald Trump mengenai perkembangan terkini di Timur Tengah hari ini.

"Jika AS membalas walau dalam apa cara sekali pun, bursa tempatan akan terus menghadapi tekanan meskipun harga minyak dijangkakan tinggi. Bagaimanapun, indeks tidak akan merosot lebih daripada 30 mata memandangkan pegangan ekuiti asing hanya kira-kira 35 peratus manakala selebihnya dikawal oleh institusi kerajaan.

"Selain itu indeks komposit wajaran tinggi utama juga dikaitkan dengan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dari aspek teknikal, beliau berkata, untuk sesi dagangan berbaki minggu ini, indeks dijangka didagangkan antara 1,588 dan 1,605, jika ketegangan antara kedua-dua negara masih tinggi.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut 11 sen kepada RM8.54, Public Bank turun 52 sen kepada RM19.60, TNB susut lapan sen kepada RM12.98 manakala Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM7.47.

Bagi kaunter paling rugi, kaunter pengguna mendahului kerugian dengan Nestle merosot RM1.30 kepada RM146.20, Dutch Lady turun RM1 kepada RM48 dan F & N susut 70 sen kepada RM33.70.

Memandangkan ketegangan masih memuncak, peruncit emas muncul kaunter paling untung dengan Poh Kong meningkat 16.5 sen kepada 70.5 sen, naik 30 peratus, sementara Tomei menambah 12.5 sen kepada 59.5 sen.

Berdasarkan kedudukan indeks secara menyeluruh, Indeks FBM Emas turun 152.28 mata kepada 11,305.66 manakala Indeks FBM Emas Syariah merosot 138.78 mata kepada 11,950.26.

​​​​​​​Indeks FBMT 100 merosot 144.52 mata kepada 11,107.80, FBM 70 turun 147.96 mata kepada 14,160.80 manakala FBM Ace merosot 73.79 mata kepada 5,380.65.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri merosot 1.83 mata kepada 154.57, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 260.57 mata kepada 15,452.84 manakala Indeks Perladangan merosot 116.87 mata kepada 7,640.66.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.73 bilion unit bernilai RM1.97 bilion berbanding 2.20 bilion unit bernilai RM1.57 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 387.75 juta unit bernilai RM65.01 juta berbanding 233.36 juta unit bernilai RM42.18 juta pada Selasa.

Sementara itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 741.04 juta saham bernilai RM188.93 juta berbanding 643.12 juta saham bernilai RM179.49 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 302.68 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (223.52 juta), pembinaan (126.18 juta), teknologi (183.77 juta), SPAC (nil), perkhidmatan kewangan (176.73 juta) 86.52 juta), perladangan (156.61 juta), REIT (26.94 juta), dana tertutup (2,138), tenaga (388.58 juta), penjagaan kesihatan (57.57 juta), telekomunikasi dan media. - Bernama