X

Kindly register in order to view this article
!

Tukar status pemilikan tanah fasa akhir: Aminuddin

Aminuddin Harun
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan dalam kajian fasa akhir meneliti proses penukaran status pemilikan tanah pajakan kepada hak milik kekal.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan mengumumkan keputusannya dalam masa terdekat termasuk melibatkan fasa pertama kediaman di daerah Seremban yang telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan tahun ini secara berperingkat.

"Taklimat mengenainya telah dimulakan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Paroi dan akan diikuti dengan DUN lain.

"Kita akan mengumumkan keputusannya dalam masa terdekat, sekali gus membantu rakyat memiliki kediaman serta tanah secara kekal," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seremban di sini hari ini.

Penukaran status pemilikan tanah pajak menjadi hak milik kekal merupakan salah satu daripada manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Perkara berkenaan telah mendapat kelulusan kerajaan Pusat dan akan dilaksanakan tahun ini.

Dalam perkembangan berlainan Aminuddin berkata, anugerah pangkat Brigedier Jeneral Kehormat yang diterimanya kelmarin tidak sepatutnya dijadikan isu.

"Pangkat kehormat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (Jakpaw) itu bukan atas kapasiti ahli politik, sebaliknya saya sebagai pemimpin kerajaan negeri.

"Saya sebagai penaung dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik yang turut dianugerahkan pangkat kehormat itu sebagai pengerusi Jakpaw," katanya.

Terdahulu, portal rasmi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaporkan penganjuran Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah disempurnakan oleh Mohamad di Penthouse, Wisma Pertahanan.

Majlis tersebut menyaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral Kehormat.

Kementerian Pertahanan membidas dakwaan yang mengatakan menterinya, Mohamad Sabu memungkiri janji dengan memberikan pangkat kehormat Jakpaw kepada ahli politik.

Kementerian tersebut dalam satu kenyataan rasmi hari ini berkata, pangkat diberikan kepada penaung Jakpaw itu adalah atas kapasiti kedudukan jawatan disandang yang melayakkan mereka diberi pangkat kehormat dan bukannya atas kapasiti parti politik.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!