Terengganu sedia bantu Nurul Aziemah

Nurul Aziemah bersama ibunya, Juliani.
Nurul Aziemah bersama ibunya, Juliani.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan negeri sedia membantu pesakit kronik buah pinggang, Nurul Aziemah Mohd Fauzi, 23 dari Kampung Tapah, di sini yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ia sebagai inisiatif bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga itu setelah ketua keluarga mereka turut mengalami penyakit kronik.

"Saya minta kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk melihat keadaan keluarga ini dari semasa ke semasa dan membantu setakat yang kita mampu.

"Semalam, kita telah menyalurkan sedikit bantuan sekitar RM8,000 menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membaik pulih sebahagian bilik yang ada di belakang kediaman ini bagi keselesaan pesakit," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Tabung Darul Iman turut memantau proses pemindahan buah pinggang daripada ibu, Juliani Jaafar, 42 kepada Nurul Aziemah.

Terdahulu, Hanafiah Mat melakukan lawatan ke kediaman keluarga terbabit.

Turut hadir Pengarah JKM Negeri, Zuhami Omar; Pegawai JKM Daerah, Norazemy Adenan; wakil-wakil Pejabat Daerah dan pengerusi MPKK Kg Tapah.

Nurul Aziemah yang merupakan lepasan Diploma Perladangan dan Teknologi Agro di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang mula mengalami masalah kegagalan buah pinggang sejak November 2018.

Artikel Berkaitan:

Kehidupan mereka sekeluarga diuji lagi dengan keadaan bapanya, Mohd Soberi Mohd Ghazali, 46, yang sering sakit akibat kegagalan injap jantung.

Kini Nur Aziemah serta enam adiknya yang lain bergantung harap pada ibunya yang mengambil upah sebanyak RM600 mencucuk sate bagi menampung keperluan keluarga.