22 kes influenza dilaporkan di Negeri Sembilan

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 22 kes penyakit Influenza Like Illness (ILI) dilaporkan di Negeri Sembilan pada minggu pertama tahun ini.

Exco Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, jumlah itu meningkat berbanding 16 kes pada minggu pertama tahun lalu.

"Bagaimanapun tiada kejadian kluster dilaporkan sehingga kini dan situasi terkini kes influenza di negeri ini berada dalam keadaan normal dan terkawal.

"Bagi tahun lalu, terdapat sebanyak 1,598 kes dengan 27 kluster penyakit influenza dilaporkan dan kes berada dalam julat normal kecuali peningkatan kes yang dilaporkan dari minggu ke 27 sehingga minggu ke-33," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Penyakit influenza adalah demam selesema yang membuatkan seseorang itu demam, selesema, batuk dan boleh menjadi teruk menyebabkan radang paru-paru (pneumonia) yang disebabkan oleh virus dan tersebar melalui jangkitan pernafasan.

Veerapan berkata, sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan saluran pernafasan, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’.

“Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan, dinasihatkan untuk berehat di rumah, elakkan pergi ke tempat tumpuan ramai, memakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.

“Dapatkan pemeriksaan dan rawatan dari mana-mana klinik perubatan yang berdekatan,” katanya

Artikel Berkaitan: