MCA Perak buat laporan terhadap Zheming

Guo Nan (depan, tengah) bersama jawatankuasa MCA ditemui membuat laporan polis terhadap Zheming di IPD Ipoh hari ini.
Guo Nan (depan, tengah) bersama jawatankuasa MCA ditemui membuat laporan polis terhadap Zheming di IPD Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - MCA Perak hari ini menunaikan janji membuat laporan polis berkaitan tuduhan Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin bahawa MCA menyeleweng peruntukan RM150 juta bagi projek pembinaan hospital baharu Kampar yang telah dibatalkan.

Bagaimanapun, kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji itu yang 'dijemput' untuk bersama-sama membuat laporan polis hari ini tidak kelihatan.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Aduan, Low Guo Nan berkata, tuduhan Zhemin itu merupakan satu fitnah apabila Kementerian Kesihatan turut mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaannya itu.

"Kedua-dua tuduhan itu berunsurkan fitnah dan jenayah pecah amanah telah pun dijelaskan oleh Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan melalui satu kenyataan semalam.

"Tuduhan penyelewengan dan salah guna dana kerajaan berkaitan projek pembinaan Hospital Kampar bukan sahaja memburukkan nama parti kami malah, memberi kesan kepada Kementerian Kesihatan dan Hospital UTAR," katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis perlu menjalankan siasatan terhadap tuduhan yang dimuatnaik di Facebook miliknya, Khamis minggu lalu.

"Zhemin sengaja berbuat demikian bagi mendapatkan publisiti. Tuduhan itu terbukti suatu fitnah serta berita palsu yang perlu dipandang serius.

"Laporan polis ini dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Akta Fitnah 1957 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zhemin dalam satu kenyataannya mempertahankan tindakannya dan bersedia untuk mendedahkan kebenaran di sebalik isu itu di mahkamah.

Zhemin berkata, kenyataan Kementerian Kesihatan semalam tidak bertentangan dengan tuduhannya.

"Kenyataan kementerian itu tidak bertentangan dengan tuduhan saya bahawa MCA telah merampas hospital kerajaan Kampar untuk bekerjasama membina hospital swasta UTAR.

"Kenyatan itu juga membuktikan MCA dalam tempoh lima tahun tidak serius dalam mencari tapak baharu bagi membina hospital.

"Kerajaan Pakatan Harapan pula berjaya mengenal pasti tanah yang sesuai di Kampung Changkat Baru dalam masa tiga bulan dan memulihkan rancangan hospital kerajaan Kampar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, beliau menganggap notis 48 jam yang diberikan MCA sebagai suatu bahan jenaka.

"MCA sepatutnya berhenti bercakap dan mengambil tindakan. Saya bersedia untuk membuktikan kebenaran dan mendedahkannya di mahkamah supaya rakyat dapat memahami dengan jelas seluruh isu Hospital Kampar," katanya.