Baik buruk makan makanan pedas

A
A
A

MAKANAN pedas sememangnya sangat sinonim dengan cita rasa lidah rakyat Malaysia.

Lazim dihidangkan dalam menu sehari-hari, makanan jenis itu menjadi kegemaran kerana mampu menambahkan lagi kepuasan dan melengkapkan sajian yang dimakan.

Sejak kebelakangan ini, muncul pula trend cabaran menghabiskan makanan dengan tahap kepedasan yang luar biasa. Misalnya tular cabaran makan semangkuk mi segera dengan pedas melampau.

Ironinya ia berjaya menarik reaksi orang ramai apabila video-video tersebut dirakam dan dimuat naik di Facebook, YouTube dan Instagram.

Trend makan makanan pedas diperlihatkan seolah-olah menjadi kegilaan terutamanya dalam kalangan golongan muda yang kian berlumba-lumba untuk cuba merasai menu sedemikian.

Makanan pedas memang sedap dan menyelerakan. Pun begitu, dalam sebuah tinjauan yang dilakukan oleh Public Health Malaysia, majoriti iaitu 79 peratus berpendapat makanan pedas memudaratkan kesihatan.

Hanya 658 netizen atau 21 peratus sahaja memilih 'ia baik untuk kesihatan'. Pedas adalah rasa panas atau pedih di bahagian bibir, mulut dan lidah apabila seseorang mengambil makanan yang mengandungi cili atau lada.

Cili tergolong dalam kumpulan sayur-sayuran, maka mengambil sayuran adalah sesuatu amalan yang baik. Namun begitu jika cili dengan pakej kepedasan menggila, apakah ada kebaikannya?

Artikel Berkaitan:

Caknakah kita tentang kesan baik dan buruk jika makan makanan yang terlalu pedas? Apakah akan memudaratkan kesihatan untuk jangka masa pendek dan panjang? Ikuti kupasannya pada edisi Sihat:Aktif minggu ini.

Jejas fungsi kognitif otak

Makan makanan pedas keterlaluan boleh beri impak kepada kesihatan

"ANAK saya memang seorang yang sangat gemar makan makanan segera yang pedas.

Dia tidak serik dan selalu makan makanan sebegitu biarpun pernah mengalami sakit perut dan cirit-birit pada keesokan harinya."

Itu luahan Faridah Jaafar, 49, yang amat gusar apabila anaknya, Hana Wardah, 20, terlalu gemarkan makanan jenis pedas. Kongsinya, hampir setiap hari anak gadisnya itu akan menikmati makanan aras sedemikian.

Paling tidak, Hana akan makan 'cili potong' bersama juadah lauk pauk yang dimasaknya. Pendek kata hidangan hariannya tidak lengkap tanpa disertakan dengan sambal, sos cili atau seumpamanya.

Ya, yang pasti bukan Hana seorang. Ramai dalam kalangan masyarakat kita gemar makan makanan pedas yang dirasakan lebih 'umphh' dan puas apabila dapat menikmatinya.

Hakikatnya, apakah impak sebenar baik buruk makan makanan pedas?

PENGAMBILAN makanan pedas haruslah secara sederhana.
PENGAMBILAN makanan pedas haruslah secara sederhana.

Jika ditinjau satu kajian prospektif kohort besar melibatkan lebih 400,000 peserta dijalankan di negara China pada 2015, sudah tentu ramai akan memilih menyantap makanan jenis pedas.

Kajian pemerhatian yang disiarkan di dalam British Journal of Medicine itu mendapati, individu yang mengambil makanan pedas enam atau tujuh hari seminggu mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.

Kebaikan kepedasan itu dikatakan 14 peratus memberikan kesan kepada peserta dalam tempoh kajian berbanding dengan individu yang kurang mengambil makanan pedas dengan purata sekali hari seminggu.

Pun demikian, kajian seumpamanya tidak membuktikan kaitan langsung (direct causal relationship), tetapi hanya menyatakan ada hubungan yang mungkin secara tidak langsung.

Bagi merungkai impak makan pedas kepada kesihatan, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pegawai Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, Nor Elyana Awang@Nawi.

NOR Elyana.
NOR Elyana.

Kandungan ‘capsaicin’ Tahap kepedasan makanan sebenarnya adalah diukur berdasarkan kandungan ‘capsaicin’ yang terdapat dalam sesuatu menu tersebut.

Terang Nor Elyana, capsaicin merupakan sejenis bahan aktif terdapat dalam cili yang memberikan seseorang merasa pedas.

"Terdapat banyak kajian yang menunjukkan kebaikan mengambil makanan pedas ataupun merujuk kepada pengambilan capsaicin itu sendiri.

“Antara kelebihannya adalah cili merupakan sejenis tumbuhan yang sangat kaya dengan vitamin C, E dan juga pro vitamin A iaitu karotena,” jelas Nor Elyana kepada Sihat:Aktif.

Selain membekalkan mikro nutrien penting seperti zat besi, secara tidak langsung pengambilan makanan pedas atau cili dalam masakan boleh membantu menampung kekurangan zat atau mikro nutrien yang diperlukan tubuh.

Terdapat juga kajian menunjukkan pengambilan capsaicin boleh membantu dalam meningkatkan kadar metabolisme badan. Ia merawat kanser, menurunkan kadar gula dan paras lemak di dalam darah. Namun, kajian itu cuma berskala kecil dan hanya dijalankan ke atas tikus makmal, kata beliau.

Oleh itu, ia tidak terbukti secara klinikal dan masih memerlukan banyak kajian lain sebelum terbukti capsaicin dapat digunakan dalam kaedah perawatan.

Seperkara, terdapat beberapa impak negatif dikaitkan dengan pengambilan makanan pedas yang berlebihan. Jelas pakar diet itu antaranya, makanan pedas sering dikatakan sebagai punca masalah gastritis, apendiks dan juga buasir.

Pun demikian, ketahuilah bahawa makanan pedas sebenarnya bukanlah punca utama yang boleh menyebabkan masalah tersebut. Ia hanya pengambilan makanan pedas boleh menyebabkan rasa sakit itu bertambah!

“Sebagai contoh pesakit buasir yang mempunyai luka luaran akan menjadi sakit dan merasa panas di bahagian luka semasa membuang air besar jika makan makanan pedas.

"Bagi pesakit yang ada keradangan usus ataupun masalah ulser perut, mereka perlu mengelakkan makanan pedas yang mana boleh menyebabkan lapisan mukosa dinding usus yang menipis menjadi lebih sakit," tambah Nor Elyana lagi.

Lagi kajian (longitudinal study) yang dijalankan di China dikongsikannya, golongan yang mengambil makanan pedas 'berapi' iaitu melebihi 50 gram cili sehari boleh menyebabkan berkurangnya fungsi kognitif otak.

Mereka cenderung untuk menjadi seorang yang pelupa!

Keracunan makanan Walaupun di luar negara terdapat beberapa kes keracunan makanan pada kanak-kanak disebabkan terlebih pengambilan makanan pedas, namun tiada garis panduan yang khusus tahap selamat capsaicin bagi golongan itu.

Biarpun demikian, toleransi terhadap makanan pedas adalah bergantung kepada individu itu sendiri. Kata Nor Elyana, sebaiknya makanan pedas diperkenalkan kepada kanak-kanak selepas berumur setahun.

SEBAIKNYA makanan pedas diperkenalkan kepada kanak-kanak yang berusia setahun.
SEBAIKNYA makanan pedas diperkenalkan kepada kanak-kanak yang berusia setahun.

"Bayi bawah umur setahun cenderung mempunyai masalah alergi atau alahan makanan. Ibu bapa perlu berhati-hati semasa ingin memperkenalkan makanan baru kepada mereka.

"Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah ketidakhadaman atau berkaitan usus, makanan pedas boleh menyebabkan iritasi pada dinding usus. Itu menyebabkan simptom seperti sakit perut, muntah dan juga rasa loya.

Namun, kebiasaannya tiada risiko kesihatan bagi kanak-kanak yang sihat,” katanya lagi.

Menarik perkongsiannya, si kecil yang tidak biasa mengambil makanan pedas biasanya menjadi lebih sensitif terhadap makanan itu walaupun pengambilannya pada kadar sedikit.

Mereka cenderung mendapat simptom seperti sakit perut ataupun cirit-birit jika memakannya.

“Makanan pedas memang tidak dapat dielakkan kerana ia dikaitkan dengan amalan hidup masyarakat.

“Masyarakat India contohnya, memperkenalkan makanan pedas kepada kanak-kanak sejak kecil kerana mereka gemar menggunakan serbuk cili ataupun paprika dalam masakan,” katanya.

Oleh itu, makanan pedas boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja mengikut tahap toleransi masing-masing dan lebih baik diambil secara sederhana.

Kepada persoalan tentang cabaran makan makanan pedas kian tular, Nor Elyana tidak menolak lazimnya rasanya melebihi tahap toleransi pedas kebanyakan masyarakat kita.

"Ramai ingin makan makanan itu disebabkan faktor pengiklanan ataupun rasa ingin mencuba sesuatu yang 'trending’.

Namun kanak-kanak atau orang dewasa tidak digalakkan untuk mengambil makan seperti mi segera viral yang sangat pedas.

"Rasa pedas dalam makanan terproses sebegini datang daripada campuran pelbagai jenis sebuk cili kering dan kandungan capsaicin lebih tiga kali ganda tinggi berbanding cili segar yang digunakan dalam masakan," katanya.

Justeru saranan beliau, bagi penggemar makanan pedas dan ingin mengurangkannya, lebihkan rasa yang memberi aroma seperti penggunaan rempah ratus, halia dan juga bawang putih bagi menggantikan rasa pedas daripada cili itu sendiri.

Ujar Nor Elyana, disebabkan pelbagai kandungan zat dan nutrien penting yang boleh didapati daripadanya, bersederhana mengambilnya lebih baik berbanding terus mengabaikan cili.

Pedas 'berapi' kumpulan makanan berproses lebih berbahaya

SEJAK kebelakangan ini, golongan muda terutamanya dilihat begitu gemar dan terikut-ikut trend cabaran makan makanan pedas ‘berapi’.

Lebih menghangatkan faktor, restoran, kedai-kedai makan dan juga syarikat-syarikat makanan segera contohnya mewujudkan banyak menu seumpamanya dan menjadikannya satu tarikan.

Persoalannya, bolehkah kita makan makanan pedas secara kerap?

Menurut Perunding Dietetik nasihatdiet.com, Dalila Talib, tidak menjadi masalah untuk makan makanan yang pedas, namun perlu diamalkan secara bersederhana.

DALILA.
DALILA.

Tahap kepedasan pula bergantung kepada individu. Setiap kita mempunyai tahap ketahanan kepedasan yang berbeza-beza.

“Tahap tahan kepedasan kita juga berkait rapat dengan pendedahan kita kepada kepedasan. Misalnya seseorang yang biasa makan pedas akan lebih tahan berbanding individu yang jarang makan pedas.

“Apa-apa sahaja jika dimakan secara berlebihan sememangnya boleh memudaratkan kita,” jelasnya.

Ujar Dalila, walaupun cili boleh memberi manfaat kepada kesihatan, elakkan makan pedas secara melampau. "Tahap kepedasan itu mestilah yang boleh diterima.

Apa-apa pun kesederhanaan tu penting," katanya.

MAKAN pedas secara melampau boleh menyebabkan masalah penghadaman seperti sakit perut dan cirit-birit.
MAKAN pedas secara melampau boleh menyebabkan masalah penghadaman seperti sakit perut dan cirit-birit.

Dalam pada itu, pesannya supaya jangan memaksa diri makan makanan sedemikian kerana terikut-ikut dengan trend sehingga menjejaskan kesihatan sendiri seperti makan makanan mi segera 'super' pedas yang lazimnya popular di Korea.

Jelas beliau, makanan pedas daripada sumber asli seperti cili atau lada tidak membawa bahana, bahkan menyihatkan sekiranya dimakan dalam kuantiti yang sederhana.

Bagaimanapun, jika makanan pedas yang dimakan itu adalah daripada kumpulan makanan berproses seperti mi segera, sos cili, ayam goreng pedas segera dan sebagainya, ia mampu memudaratkan kesihatan.

Kandungan sodium yang tinggi dalam makanan berproses boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi.

“Makanan segera juga tinggi kandungan lemak dan boleh menyebabkan obesiti atau kolesterol tinggi.

TERDAPAT juga kesan sampingan jika makan cili secara berlebihan.
TERDAPAT juga kesan sampingan jika makan cili secara berlebihan.



ANEKDOT

Kesan makan cili secara berlebihan:

1. Masalah penghadamanWalaupun ia tidak menyebabkan ulser perut, cili boleh menyebabkan sakit perut pada sesetengah individu. Ia boleh mengakibatkan:

- Irritable Bowel Syndrome

- Makanan tidak hadam

- Sakit perut

2. Mencederakan rongga mulut dan saluran pemakanan:

Terdapat beberapa kes melibatkan peserta makan cili dan selebriti YouTube yang makan cili dalam kuantiti berlebihan. Peserta pertandingan itu muntah dengan dahsyat sehingga esofagusnya terkoyak. Selebriti YouTube itu pula pengsan dan meracau sehingga perlu diberi bantuan kecemasan.

Khasiat cili tidak termasuk produk makanan yang telah diproses seperti sos cili, serbuk perasa cili dan bahan proses lain yang tinggi garam.

Sumber: @publichealthmalaysia