176 penumpang pesawat Ukraine disahkan terkorban

Serpihan bangkai pesawat yang musnah dalam nahas itu selepas ia terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Teheran awal pagi tadi. - Foto AFP
Serpihan bangkai pesawat yang musnah dalam nahas itu selepas ia terhempas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Teheran awal pagi tadi. - Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Kesemua 176 penumpang termasuk sembilan kru pesawat Ukraine dilaporkan terkorban dalam kemalangan tidak lama selepas ia berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di selatan ibu negara Iran pada awal pagi tadi.

Pegawai Kanan Perhubungan Awam di lapangan terbang itu, Ali Khashani berkata, pesawat Boeing 737-800 dikendalikan Ukraine International Airlines tersebut dalam perjalanan ke Kiev itu terhempas berhampiran kawasan Parand sebuah bandar di daerah Robat Karim.

"Pasukan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi nahas. Kebakaran pesawat itu berjaya dikawal dan kakitangan kecemasan kini sedang mengeluarkan mayat mangsa penumpang," kata jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Iran, Reza Jafarzadeh.

Sementara itu, agensi berita Fars melaporkan siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada masalah teknikal.

Menurut data pengesan penerbangan, Flightradar24, pesawat 752 Ukraine International Airlines itu dijadualkan berlepas pada jam 5.15 pagi (waktu tempatan) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Boryspil.

Bagaimanapun, jadual penerbangan itu tertangguh selama hampir sejam dan hanya berlepas pada jam 6.12 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat Ukraine terhempas di Iran

Rakaman video dikongsi agensi berita ISNA di Iran menunjukkan satu percikan berlaku sebelum bola api besar kelihatan tidak lama kemudian.

Insiden itu berlaku beberapa jam sebelum Iran melancarkan serangan balas dendam terhadap dua pangkalan tentera yang menempatkan pasukan tentera Amerika Syarikat di Iraq. - AFP

Artikel Berkaitan: