'Geng Kabali' aktif samun di tiga negeri tersungkur

Datuk Huzir menunjukkan salah seorang Geng Kabali yang diburu, dikenali Vicky yang aktif melakukan samun di Lembah Klang.
Datuk Huzir menunjukkan salah seorang Geng Kabali yang diburu, dikenali Vicky yang aktif melakukan samun di Lembah Klang.
A
A
A

SEREMBAN – Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Kabali’ yang bergiat aktif dalam jenayah samun terancang yang berlaku di sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata ‘Geng Kabali’ ini diwujudkan hasil pertemuan penjenayah ini, semasa berada di dalam penjara, yang diketuai oleh seorang lelaki India dengan gelaran Kabali.

Katanya, melalui Ops Kelawar yang dijalankan oleh pihaknya pada dua bulan lalu, berjaya menahan 19 ahli geng Kabali ini termasuk ketuanya berusia 32 tahun di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Melalui Ops Kelawar yang dilakukan pada bulan November dan Disember tahun lalu, kita berjaya mengesan ketua Kabali, dan menahannya di sekitar Negeri Sembilan. Hasil daripada tangkapan itu kita berjaya mengesan ahli-ahlinya yang lain dipercayai terlibat sama dengan jenayah yang dilakukan.

“Kumpulan ini aktif melakukan kegiatan samun terancang di rumah dan juga kedai pengurup wang, sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, yang dilakukan bermula jam 8.30 malam sehingga 5 pagi.

“Sebanyak 50 kes di Selangor dan Kuala Lumpur membabitkan kumpulan ini, manakala 15 kes lagi berlaku di Negeri Sembilan, yang membabitkan kerugian hampir RM1juta,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dekat sini hari ini.

Geng Kabali, Kunasekaran atau dikenali Vicky kini di buru
Geng Kabali, Kunasekaran atau dikenali Vicky kini di buru

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Mat Yusop.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya kini memburu enam lagi individu yang masih bebas, termasuk seorang lagi ‘master mind’ yang bergiat aktif melakukan jenayah samun di sekitar Lembah Klang, yang dikenali sebagai Vicky.

Kata Huzir, kesemua ahli kumpulan ini mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, ugutan, dadah dan bunuh, serta pernah dipenjarakan dalam tempat yang sama sehingga menyebabkan mereka bertindak menubuhkan kumpulan ini.

Huzir memberitahu, kesemua mereka sebelum ini memang melakukan kerja-kerja jenayah dan mempunyai kumpulan sendiri, namun hasil perkenalan di penjara, mereka kemudiannya bergabung, lalu menubuhkan Geng Kabali, yang bergiat aktif sejak 2017.

Datuk Huzir (tengah) menunjukkan antara senjata parang yang digunakan oleh Geng Kabali dalam melakukan aktiviti samun.
Datuk Huzir (tengah) menunjukkan antara senjata parang yang digunakan oleh Geng Kabali dalam melakukan aktiviti samun.

Kertas siasatan telah dibuka mengikut bab VIB Sekseyen 130V Kanun Keseksaan (menjadi ahlli kumpulan jenayah terancang) dengan mengunakan prosedur siasatan dan pendakwaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Polis juga turut mengambil tindakan ke atas harta dan kewangan ahli kumpulan jenayah Geng Kabali yang akan dijalankan oleh pasukan Siasatan jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Kesemua mereka akan dihadapkan ke mahkamah esok di Mahkamah Sesyen Seremban,jam 9 pagi.