Pegawai pemasaran ditemui mati dalam pacuan empat roda

A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang pegawai pemasaran ditemui mati dalam sebuah pacuan empat roda yang diparkir di sebuah pasar raya di Plentong di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.55 petang sebelum beberapa anggota dikejarkan ke lokasi.

“Mangsa yang juga lelaki berusia 35 tahun ditemui di tempat duduk belakang sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang diparkir di aras dua pasar raya berkenaan.

"Ketika ditemui mangsa tidak sedarkan diri dan enjin pacuan empat roda itu masih hidup. Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui beberapa ketulan arang yang telah dibakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil untuk membantu membuka pintu pacuan empat roda itu sebelum mayat mangsa dibawa keluar.

“Buat masa ini, polis tidak mengesyaki terdapat unsur jenayah dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut. Mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Sufian Mohd Lis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.04 petang.

“Sebaik tiba di lokasi berkenaan, anggota kami dapati mangsa ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di tempat duduk belakang.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan penyelamat kemudiannya bertindak memecahkan tingkap kereta tersebut apabila melihat mulut mangsa ketika itu sudah berbuih,” katanya.