X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia dibuka rendah akibat serangan Iran ke atas tentera AS

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka rendah 1.25 peratus berikutan laporan berita mengenai serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Iraq yang meningkatkan ketegangan sedia ada di Timur Tengah berikutan pembunuhan seorang komander tertinggi Iran di Baghdad minggu lepas.

Pada 9.05 pagi tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 20.26 mata kepada 1,590.78 daripada 1,611.04 semasa ditutup semalam.

Di papan skor, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 354 berbanding 79 manakala 155 kaunter kekal tidak berubah, 1,349 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 271.02 juta saham bernilai RM104.69 juta.

Seorang penganalisis berkata, Bursa dibuka rendah hampir secara menyeluruh berikutan ketegangan geopolitik yang meningkat di rantau itu.

Menurut beliau, harga minyak dijangka terus melonjak manakala indeks global akan merosot.

"Bursa tempatan turut dijangka bergerak sejajar dengan indeks global lain menjejaki prestasi Wall Street," katanya.

Di pasaran global, Dow Jones Industrial Average susut 119.70 mata kepada 28,5873.68, Nikkei Jepun merosot 558.82 mata kepada 23,016.90, manakala KOPSI Korea Selatan berkurangan 25.09 mata kepada 2,150.45.

Sehingga 9.15 pagi tadi, harga minyak mentah Brent meningkat 2.60 peratus kepada US$70.87 setong.

Awal hari ini, Pentagon dilaporkan berkata, Iran telah melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik ke atas dua pangkalan tentera di Iraq yang menempatkan tentera AS dan dlihat sebagai tindakan balas terhadap serangan dron AS yang membunuh komander tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani minggu lepas.

Serangan peluru berpandu itu didakwa dilancar dari wilayah Iran yang dilakukan beberapa jam selepas pengebumian Qassem.

Pentagon berkata, mereka kini menilai tahap kemusnahan yang disebabkan oleh serangan tersebut, termasuk jumlah mangsa yang terlibat yang masih belum disahkan.

Tindakan balas itu berlaku beberapa hari selepas AS membunuh Jeneral Qasem Soleimani dalam serangan udara di ibu negara Iraq, Baghdad dan Iran telah berjanji akan mengambil "langkah yang wajar" susulan kematian jeneral mereka.

Daripada 30 syarikat utama di FBM KLCI, semua kaunter rendah dengan Tenaga Nasional susut 14 sen kepada RM12.90, Petronas Chemicals merosot 15 sen kepada RM7.42, Kuala Lumpur Kepong turun 26 sen kepada RM24.68, Maybank berkurangan empat sen kepada RM8.61 dan Hong Leong Financial susut 52 sen kepada RM16.92.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle merosot RM1.70 kepada RM145.80, PPB susut 48 sen kepada RM18.80, Public Bank turun 30 sen kepada RM19.82.

Daripada saham aktif, TDM merosot dua sen kepada 27 sen, Rimbunan Sawit susut 2.5 sen kepada 39.5 sen dan JYC berkurangan dua sen kepada 30.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 122.69 mata kepada 11,335.25 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 137.25 mata kepada 11,950.79.

Indeks FBMT 100 susut 121.47 mata kepada 11,130.85, FBM 70 berkurangan 72.31 mata kepada 14,236.45 manakala FBM Ace turun 48.34 mata kepada 5,406.10.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.79 mata kepada 154.61,0 Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 157.75 mata kepada 15,555.60 dan Indeks Perladangan turun 68.99 mata kepada 7,688.54. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus