X

Kindly register in order to view this article
!

Perkeso anjur temuduga terbuka SIP seluruh negara

Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed
A
A

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menawarkan lebih 3,056 kekosongan jawatan menerusi Temuduga Kerja Terbuka di pejabat-pejabatnya yang terbabit di seluruh negara.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, temuduga terbuka yang berlangsung hari ini dan esok itu disertai 50 majikan dari pelbagai industri.

Menurutnya, antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Jakel Trading, St. Jude Medical Operation Sdn Bhd and Park Inn by Radisson Putrajaya.

"Salah satu sebab Perkeso menganjurkan Temuduga Kerja Terbuka di pejabat-pejabat Perkeso di seluruh Malaysia adalah kerana terdapat banyak kes kehilangan pekerjaan walaupun di akhir Disember 2019.

"Terbaharu adalah Media Prima Berhad yang menjalankan proses pemberhentian pekerja dan dijangka membabitkan lebih 900 pekerja," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, pekerja Media Prima telah menerima surat penamatan pada Disember 2019 dan akan kehilangan pekerjaan pada 15 Mac 2020.

“Saya hanya boleh bayangkan kesukaran yang dihadapi mereka yang kehilangan pekerjaan pada bulan Disember dengan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan atau semester baharu bagi pelajar universiti pada bulan Januari yang tentunya melibatkan perbelanjaan besar.

“Pada tahun 2019, seramai 40,084 pencarum membuat permohonan tuntutan faedah kehilangan pekerjaan dan ia dipercayai disebabkan oleh kesan daripada ekonomi digital. Jumlah kehilangan pekerjaan yang dilaporkan kepada SIP Perkeso adalah membimbangkan kami,” katanya.

Mohammed Azman berkata, sebagai penyedia Perkhidmatan Pekerjaan Awam (Public Employment Services), Perkeso akan memastikan setiap pencarum yang terpaksa melalui fasa itu tidak hanya dibantu melalui faedah kewangan tetapi juga menawarkan peluang pekerjaan secepat mungkin.

Katanya, mereka akan dibantu melalui SIP yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2018 dan mengandungi dua komponen utama iaitu Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan.

Menurutnya, Insurans Pekerjaan menyediakan bantuan kewangan sehingga enam bulan bergantung kepada syarat caruman dan kelayakan, sementara Perkhidmatan Pekerjaan membantu semua penerima faedah mendapat peluang pekerjaan.

"Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso tidak hanya terbuka kepada penerima faedah sahaja malah turut membantu semua pencari kerja termasuklah graduan dan lepasan sekolah," katanya.

Ia adalah sebagai tambahan kepada temuduga kerja terbuka mingguan dan bulanan, Bengkel Kebolehkerjaan, dan program-pogram Graduate Empowerment & School Leavers yang diadakan oleh SIP Perkeso dari semasa ke semasa.

Semua maklumat terkini berkenaan Temuduga Kerja Terbuka SIP Perkeso boleh didapati di laman sesawang www.perkeso.gov.my dan Facebook SIP Perkeso.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Perkeso di talian 1-300-22-8000.

Temuduga Terbuka di Pejabat Perkeso yang mengambil bahagian:

8 Januari 2020 (9 pagi - 5 petang)

1. Wisma Perkeso, Kuala Lumpur (Temuduga kerja untuk kakitangan Media Prima)

2. Wisma Perkeso, Seremban

3. Wisma Perkeso, Johor Bahru

4. Wisma Perkeso, Seberang Jaya

5. Pejabat Perkeso, Georgetown

6. Pejabat Perkeso, Kulim

7. Wisma Perkeso, Kuantan

8. Wisma Perkeso, Kuala Terengganu

9. Wisma Perkeso, Kota Bharu

10. Wisma Perkeso, Kota Kinabalu

11. Wisma Perkeso, Kuching

12. Pejabat Perkeso, Kajang

13. Pejabat Perkeso, Klang

9 Januari 2020 (9 pagi - 5 petang)

1. Wisma Perkeso, Petaling Jaya

2. Wisma Perkeso, Melaka


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus