X

Kindly register in order to view this article
!

Isu Xinjiang tak jejas Malaysia-China

Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

ISU Xinjiang yang didakwa digembar-gemburkan oleh media Barat diharap tidak akan mencetuskan masalah hubungan antara Malaysia dengan China.

Sebaliknya, ia dipercayai mampu menyediakan ruang kepada umat Islam Malaysia dan China bertukar fikiran dan mengeratkan tali persahabatan antara kedua-dua negara itu.

Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian berkata, sejak Malaysia dan China mengadakan hubungan diplomatik 45 tahun yang lalu, persefahaman antara kedua-dua negara begitu akrab dengan mengadakan dialog secara kerap.

Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

“China sedar kerajaan Malaysia sentiasa mengambil sikap berhati-hati dan tidak memihak atas isu Xinjiang. China sememangnya memuji pendekatan yang diambil kerajaan Malaysia yang tidak campur tangan hal ehwal negara lain.

“Kami mengalu-alukan pengumuman Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini bahawa Malaysia telah melantik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) untuk meneliti laporan mengenai dakwaan berlaku pelanggaran hak asasi manusia terhadap masyarakat Islam Uyghur di Xinjiang,” kata Bai Tian.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh tiga akhbar utama Malaysia iaitu Sinar Harian (Bahasa Malaysia), The Star (Bahasa Inggeris) dan Sin Chew Daily (Bahasa Mandarin) serta Bernama di pejabatnya di sini kelmarin.

ISTAC ditempatkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebuah kampus yang ditubuhkan pada tahun 1980-an dengan matlamat menjadi pusat penyelidikan antarabangsa terkemuka dalam bidang pemikiran, budaya dan tamadun Islam.

Malaysia bersama beberapa negara berpenduduk majoriti Islam lain termasuk Arab Saudi, Mesir, Turki, Bangladesh dan Pakistan adalah penaja bersama universiti itu semasa ia ditubuhkan.

Pemerintah China, kata beliau, telah membuat persiapan mengundang pihak ISTAC untuk mengadakan lawatan ke Xinjiang pada bulan April atau Mei tahun ini bagi melihat sendiri keadaan sebenar di bumi wilayah berkenaan.

“China turut menyambut baik agar ISTAC menjalinkan hubungan dengan mana-mana badan-badan pengkaji agama dan kaum di China bagi kedua-dua pihak berbincang mengenai isu Xinjiang serta memahami secara dekat polisi dan dasar yang diamalkan oleh China,” katanya.

Laporan palsu dan propaganda oleh media Barat terus dikecam oleh Duta Besar China di Malaysia itu sambil menunjukkan fakta sebenar bahawa masalah yang berlaku di Xinjiang tidak ada kaitan dengan kaum, agama ataupun hak asasi manusia.

“Undang-undang China telah menetapkan dengan jelas setiap warganegaranya mempunyai kebebasan beragama dan hak sama rata di samping berusaha menjamin kepentingan serta hak setiap kaum minoriti

“Kenapa dalam tempoh lebih setahun ini, isu Xinjiang secara tiba-tiba menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa? Pihak mana yang paling kerap melaporkan masalah di Xinjiang, ia tidak lain tidak bukan media Barat,” tegas Bai Tian.

Beliau memberitahu, kini terdapat hampir 200 juta penganut agama di China, dengan lebih 20 juta adalah umat Islam. Kaum Hui dan Kaum Uyghur merupakan dua kaum utama dalam kalangan Muslim.

“Pada hari ini, di Xinjiang mempunyai 24,000 masjid dan surau, 30,000 ustaz dan imam di mana setiap 530 Muslim mempunyai satu masjid secara purata.

“Kadar ini lebih tinggi daripada negara-negara Islam seperti Turki,” kata Bai Tian lagi.

Sedia selesaikan isu rakyat

Malaysia ditahan di masjid XinjiangDuta Besar China di Malaysia, Bai Tian mengakui beliau masih tertanya-tanya mengenai isu sekumpulan rakyat Malaysia yang ditahan kerana bersolat ‘tanpa permit’ di sebuah masjid Uyghur di Xinjiang, seperti yang ditular media sosial kira-kira seminggu yang lalu.

Masjid Selatan yang terletak di pusat kota Urumqi merupakan salah sebuah masjid terbesar di Xinjiang.
Masjid Selatan yang terletak di pusat kota Urumqi merupakan salah sebuah masjid terbesar di Xinjiang.

“Kejadian itu telah berlaku pada tahun 2017 tetapi kenapa ia timbul semula pada akhir hujung tahun 2019. Saya sendiri tidak tahu apakah isu ini telah diputarbelitkan ataupun berlaku salah faham.

“Bagaimanapun, pihak kedutaan bersikap ikhlas dan terbuka untuk memberikan bantuan yang sewajarnya. Sebenarnya pihak kedutaan masih cuba menghubungi rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian itu,” kata Bai Tian.

Katanya, sekiranya kumpulan terbabit sedia memberikan segala maklumat terperinci termasuk masa, lokasi dan detik-detik kejadian yang menimpa mereka, pihak kedutaan sedia menghubungi pihak berkuasa Xinjiang untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian berkenaan.

Pada 28 Disember lalu, berita lapan rakyat Malaysia ditahan sepasukan polis dan tentera bersenjata yang menunggu di luar masjid di Xinjiang sejurus selesai bersolat ditular oleh media sosial tempatan.

Walaupun kejadian itu dilaporkan berlaku pada tahun 2017, ia tetap menjadi tumpuan netizen sehingga menjadi kontroversi kononnya China menindas umat Islam Malaysia di Xinjiang.

“Kami mengambil maklum berita ini. Apa yang ingin saya tegaskan, sejak tahun 2017, tahap keselamatan di Xinjiang adalah aman dan stabil.

“Jumlah pelancong ke Xinjiang semakin hari semakin meningkat, termasuklah pelancong dari negara Islam. Saya percaya pelancong-pelancong asing ini telah menikmati waktu yang menyeronokkan ketika di Xinjiang,” katanya.