Cikgu rotan vs cikgu kostum

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEDAR tak sedar, kita semua sudah berada pada tahun 2020 permulaan dekad yang sebelum ini digembar-gemburkan dengan pelbagai inovasi, pembaharuan dan teknologi tidak terjangkau dek akal.

Namun, bukan bab itu yang ingin penulis kongsikan. Ia mungkin ada kaitan dengan keterujaan pada awal tahun 2020 yang boleh kita imbas dan simpan sebagai kenangan.

Tanggal 1 dan 2 Januari 2020, kesemua anak-anak berusia tujuh tahun di Malaysia memulakan langkah mereka ke alam persekolahan.

Terpampang di dada-dada akhbar terutama sekali Sinar Harian trend para guru sekolah rendah dan prasekolah pada hari pertama sesi persekolahan berusaha sehabis baik memikat hati murid dengan pelbagai cara.

Ada yang sanggup memakai kostum animasi kartun, menyewa perkhidmatan watak-watak adiwira demi menghiburkan tetamu VIP mereka (murid-murid).

Di Pulau Pinang, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau, Bayan Lepas mengambil inisiatif menyarungkan kostum animasi kartun seperti Barney and Friends, Snow White, Pooh dan Lion King berbanding berbaju kurung dan berkemeja kemas.

Di Terengganu, SK Lubuk Kawah, Jertih guru besarnya menyewa robot Transformers, Bumblebee yang menyertai murid-murid pada sesi perhimpunan sekolah, manakala Ultraman Zero pula ‘diimport’ oleh SK Taman Awana, Kedah bagi ‘misi menghapuskan raksasa’.

Tidak ketinggalan di Negeri Sembilan apabila SK St Paul, Seremban membawakan adiwira Marvel iaitu Captain America dan Deadpool untuk melenyapkan ‘Thanos’.Rotan menantiItu ialah situasi pada tahun 2020 berbeza sekali dengan keadaan ketika penulis mula-mula melangkah ke alam persekolahan di Sekolah Seri Perlis pada tahun 1991.

Artikel Berkaitan:

Turun sahaja dari kereta ayah (Allahyarham Abdul Rezak Ahmad), terpampang sosok tubuh seorang lelaki yang wajahnya bermisai tebal sambil memegang rotan panjang.

Kami semua memanggil beliau Cikgu Mat Ali (Allahyarham). Wataknya tak ubah seperti Sarjan Misai (drama Gerak Khas) yang menggerunkan murid walaupun kami tidak buat salah ketika itu.

Pada masa itu, tidak pula penulis disambut dengan kostum watak animasi Doraemon atau Suria Baja Hitam yang memang popular di kaca TV.

Minggu pertama sesi persekolahan, penulis sudah mendapat hadiah iaitu cubitan di perut daripada guru kelas, Cikgu Noriah kerana tersilap bawa buku latihan. Sehingga sekarang penulis rahsiakan daripada ibu kerana takut dicubit lagi oleh ibu.

Itu situasi minggu pertama penulis sebagai murid Tahun Satu pada tahun 1991.

Cuba kita letak situasi penulis dengan zaman kini, apa agaknya akan berlaku jika si anak mengadu dicubit guru kelas kepada ibu dan bapa mereka? Penulis bukan sakarstik tetapi itulah kebenarannya.

Penulis mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Noriah mungkin dek kerana cubitan itu, diri ini memiliki segulung ijazah dan menjadi wanita bekerjaya.

Berbalik kepada situasi minggu pertama sesi persekolahan murid Tahun Satu di Malaysia kini, ibu bapa terpaksa mengambil cuti tahun untuk menemani si anak ke sekolah. Ada juga yang awal-awal lagi menempah cuti selama seminggu demi memastikan si anak betul-betul selesa dalam kelas.

Rutin si ibu bekerjaya kembali hatrik seawal subuh, ada juga yang terpaksa bangun jam 4.30 pagi setiap hari untuk menyediakan sarapan dan bekal si anak. Usah dikiralah uniform sekolah dua hingga tiga jenis yang harus diseterika dan buku disusun dalam beg mengikut jadual harian sebelum melelapkan mata.

Tetapi janganlah hanya utamakan anak-anak ketika pada awal persekolahan. Sepatutnya, sepanjang si anak belajar dari prasekolah sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka perlu diutamakan kerana ia suatu tempoh kritikal untuk mereka menjadi apa yang diimpikan. Jangan harapkan kepada guru 100 peratus.

Kepada anak-anak dan adik-adik yang masih belajar, janganlah terlalu asyik dengan teknologi walaupun zaman anda semuanya di hujung jari. Kerja sekolah pun melalui e-mel berbanding zaman penulis menggunakan buku teks. Apapun, tahniah kepada ibu bapa yang berjaya membawa anak-anak anda mengharungi alam persekolahan.

*Nurbaya Abdul Rezak ialah Penolong Editor Sinar Harian