1MDB: Pendengaran lucut hak wang Jakel Trading pada 7 Februari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Februari untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak wang berjumlah RM628,314 disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Jakel Trading yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah memfailkan afidavit berhubung permohonan itu.

“Saya memohon satu tarikh untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis,” katanya semasa pengurusan kes itu hari ini yang turut dihadiri peguam Thevini Nayagam mewakili Jakel Trading selaku responden.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 30 Januari ini.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama

Artikel Berkaitan: