319 anggota dikesan tidak hadir tugas

Sidang media khas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Sidang media khas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Selangor tahun lalu mencatatkan sebanyak 319 kes membabitkan anggota yang tidak hadir bertugas dan gagal dikesan (bolos).

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dalam tempoh itu, JIPS berjaya menyelesaikan sebanyak 297 kes dan menjadikan jumlah yang tinggal hanya sebanyak 22 kes sehingga Disember 2019.

Menurutnya, JIPS turut memeriksa seramai 578 pegawai kanan, 12,053 pegawai rendah polis dan 231 pegawai awam bagi memastikan tugas seharian dilaksanakan mengikut peraturan dan arahan.

"Daripada jumlah itu, seramai 115 anggota dikenakan tindakan di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Awam, Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Awam (62 anggota), Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Awam 1993 (80 anggota).

"Seramai 227 anggota diberikan surat teguran manakala 201 anggota diberi nasihat secara lisan," katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Noor Azam Jamaludin
Noor Azam Jamaludin

Beliau berkata, pencapaian sepanjang tahun lalu menunjukkan JIPS berada di landasan yang kukuh dalam konteks pengukuhan governans, integriti dan antirasuah sejajar dengan agenda semasa kerajaan.

Katanya, antara pencapaian JIPS Selangor tahun lalu ialah mencapai 99.8 peratus perisytiharan harta warganya serta menjalankan siasatan khas secara selari Ops Blue Devil dengan tangkapan seramai 33 pegawai serta anggota.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua JIPS Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, kes bolos berlaku jika pegawai atau anggota terbabit penyalahgunaan dadah hingga wujud kesalahan salah guna kuasa, peras ugut dan rasuah.

"Kita ada merekodkan kes bolos paling lama iaitu tujuh tahun. Apabila mereka bolos dan tidak dapat dikesan, tindakan perlu diambil termasuk buang kerja untuk memberi pengajaran kepada yang lain.

"Kita tidak menafikan ada sebahagian mereka tidak berminat dengan tugas. Jadi, kita tidak mahu anggota polis ini disabit dengan kesalahan jenayah," katanya.