Kabinet UAE lulus visa pelancong kemasukan semua warganegara

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ABU DHABI - Kabinet Emiriah Arab Bersatu (UAE) meluluskan pengeluaran visa pelancong kemasukan berbilang bagi tempoh lima tahun kepada semua warganegara yang berkunjung ke negara itu, lapor Agensi Berita UAE (WAM).

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat pertama Kabinet pada Tahun Persiapan 2020, yang dipengerusikan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Langkah itu dibuat bagi menyokong ekonomi pelancongan UAE dan mengesahkan kedudukan negara itu sebagai destinasi pelancongan global.

Satu lagi keputusan penting yang dibuat pada mesyuarat itu termasuk memperkenal pengecualian visa bagi rakyat Mexico yang melakukan perjalanan ke UAE.

ARTIKEL BERKAITAN: Visa pelancongan Arab Saudi tak jejas agensi pelancongan, umrah

Kedua-dua keputusan akan dilaksana pada suku pertama 2020.

Sheikh Mohammed berkata, 2019 merupakan tahun yang penuh dengan pencapaian dalam pelbagai bidang.

"Kita meninggalkan tahun ini di belakang dan kami bangga dengan pasukan kerja kerajaan kami, kami dipenuhi semangat dan tenaga positif bagi persiapan untuk lima puluh tahun akan datang.”

"Tahun 2019 telah menyaksikan banyak pencapaian penting dalam perjalanan kami meneroka masa depan dan merangka hala tuju yang jelas demi kejayaan serta kebahagiaan rakyat kami," kata Sheikh Mohammed.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat itu berlangsung di hadapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Leftenan Jeneral Sheikh Saif bin Zayed Al Nahyan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Presiden, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan. - Bernama