Kedah tidak berhasrat naikkan tarif air

Mukhriz (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Mohd Zohdi (dua dari kanan) selepas majlis angkat sumpah pelantikan Ahli-Ahli Majlis Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) penggal 2020-2021 hari ini.
Mukhriz (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Mohd Zohdi (dua dari kanan) selepas majlis angkat sumpah pelantikan Ahli-Ahli Majlis Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) penggal 2020-2021 hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah tidak berhasrat menaikkan tarif air dalam masa terdekat, namun rundingan dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berhubung mekanisme bersesuaian masih berjalan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri sudah menyatakan persetujuan untuk melakukan migrasi (penghijrahan) bekalan air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bulan lalu.

Menurutnya, beberapa aspek masih diperhalusi bagi membolehkan Kedah dapat mengekalkan tarif sedia ada tanpa merugikan operator air iaitu Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Setakat ini kita belum putuskan naikkan tarif air, rundingan belum dimuktamad kerana banyak pertimbangan harus diambil kira sebelum keputusan dibuat walaupun surat persetujuan migrasi sudah dihantar Disember lalu,” katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah pelantikan Ahli-Ahli Majlis Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) penggal 2020-2021 hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad.

Mukhriz berkata, antara aspek yang sedang diperhalusi adalah berkaitan hutang infrastruktur air negeri kepada kerajaan Persekutuan.

“Antara perkara utama yang diambil kira dalam proses migrasi adalah hutang berkaitan infrastruktur air yang masih ada. Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk sejumlah hutang lama itu dihapus kira, namun kami berpandangan masih ada infrastruktur lain seperti infrastruktur luar bandar yang boleh mohon untuk dihapus kira ini yang belum dimuktamadkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun migrasi akan berlaku, namun rakyat Kedah tidak perlu bimbang kerana kadar tarif air ditentukan oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

“SADA akan uruskan agihan air, manakala infrastruktur jadi hak milik PAAB. Apabila beralih kepada PAAB, tidak semestinya tarif air naik. Jika bebanan hutang masih tinggi yang perlu ditanggung oleh SADA dan kerajaan negeri, kemungkinan perlu disemak semula kadar itu, namun tidak akan dilakukan secara mendadak,” katanya.

Mukhriz berkata, sekiranya hutang berkenaan dapat dikurangkan tanpa menjejaskan operasi SADA, tiada keperluan untuk tarif air dinaikkan.

“Kita akan lakukan secara berperingkat, hutang tetap kena bayar, kita bukan seperti kerajaan negeri terdahulu yang tidak pernah bayar hutang. Amalan itu tak sesuai, jika tak lunaskan hutang lama, macam mana nak mohon peruntukan baru,” katanya.

Pada November lalu, kerajaan negeri mengumumkan telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membolehkan kadar tarif air sedia ada dikekalkan tanpa merugikan syarikat operator air mahupun menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.

Ia susulan SPAN meminta Kedah menyemak semula kadar tarif air yang berada pada bawah kos operasi sebenar, yang mana tarif air di Kedah masih rendah dibandingkan negeri lain.

Kelmarin, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar meminta negeri-negeri yang masih tidak bersetuju dengan rancangan menaikkan tarif air tampil dengan satu mekanisme yang boleh menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan air terawat secara berterusan kepada pengguna.

Ini penting bagi memastikan kadar simpanan air terawat negeri mencukupi dan tidak memberi masalah pada kemudian hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Negeri tak setuju tarif air naik perlu kemuka mekanisme: Xavier